KANSAI Paint Asia Pacific Sdn Bhd, anak syarikat pengeluar cat terbesar Jepun, Kansai Paint Co. Ltd melancarkan cat pembersih udara mesra alam serba baharu, Ales Shiquy baru-baru ini sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kansai Paint dan pelaburan teknologi berterusan di Malaysia.

Ales Shiquy adalah cat hiasan emulsi berasaskan air, merupakan lepa kapur buatan tempatan pertama Malaysia bagi mempertingkatkan kualiti udara di ruang dalaman dengan ketara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kansai Paint Co. Ltd, Hiroshi Ishino berkata, ciri unik 'Shikkui’ dalam produk baharu ini bertindak memerangkap dan menyahaktifkan bakteria berbahaya yang bersentuhan dengan permukaan bercat.

"Shikkui ialah sejenis bahan semula jadi tradisional Jepun yang lebih dikenali sebagai kapur mati. Bahan ini mempunyai fungsi antivirus dan antibakteria, kawalan kelembapan dan nyah bau yang berkesan," katanya.

Tambahnya, memandangkan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kualiti udara bagi persekitaran dalaman, pelancaran Ales Shiquy dianggap tepat pada masanya kerana menawarkan penyelesaian menjimatkan kos kepada pengguna untuk melindungi persekitaran dalaman daripada pencemar berbahaya seperti formaldehid.

“Kansai Paint kini merupakan pelopor sebenar yang menghasilkan penyelesaian cat inovatif berprestasi tinggi bagi pelbagai jenis permukaan berasaskan tiga tunggak utama iaitu pematuhan, kelestarian dan kualiti.

"Ales Shiquy melambangkan misi 100 tahun Kansai Paint untuk mewujudkan ruang hidup dan komersial lebih selamat dan sihat bagi para pelanggan kami.

"Dengan cat baharu ini, kami dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan memenuhi keperluan mereka mewujudkan persekitaran lebih cantik, bersih dan selamat," katanya pada pelancaran Ales Shiquy yang dibuat di sini.

Ales Shiquy menawarkan kira-kira 500 pilihan warna untuk memberikan pelanggan kebebasan menceriakan ruang hidup a menerusi warna.

Produk cat baharu ini akan ditawarkan di semua pengedar sah Kansai Paint dan kedai perkakas di seluruh negara pada harga runcit RM199 untuk tin lima liter, bergantung kepada pilihan warna mulai Julai 2018.