SOLAT duha, solat hajat dan ratib al-Hadad menjadi rutin harian kakitangan Al-Haddad Marketing dan Al-Haddad Manufacturing Sdn Bhd, yang membolehkannya kekal di pasaran.

Solat Zohor dan Asar pula dilakukan secara berjemaah di samping kuliah pengajian agama oleh penasihat Al-Haddad Group, Datuk Syed Mohd Mahayadin Syed Akil yang dijalankan setiap minggu khas untuk kakitangan.

Pengarah Urusan Al-Haddad Manufacturing Sdn Bhd, Syed Salahuddin Syed Mahayadin berkata, pihaknya tidak hanya menitikberatkan hal berkaitan duniawi semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek ukhrawi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai majikan.

"Setiap kakitangan kita arahkan mereka solat duha, solat hajat dan ratib al-Hadad setiap hari, selain itu ada pengajian kitab, solat berjemaah Zohor dan Asar, kuliah pengajian agama yang mana disampaikan oleh ayahanda kami sendiri.

"Beliau akan beri kuliah, datang kerja sekali dapat ilmu dan kita juga nak didik mereka bukan kerja untuk dunia semata-mata, tetapi mengejar akhirat juga,” katanya.

Sementara itu, adik beliau, Syed Ageel yang merupakan Pengarah Urusan Al-Haddad Marketing Sdn Bhd menjelaskan, mereka mengamalkan patuh syariah, diiktiraf Amalan Pengilangan Baik (GMP), Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), piawaian ISO 22000 Food Safety dan Green 5S Sirim.

Menurutnya, Al-Haddad Marketing ditubuhkan pada 2011 dengan memperkenalkan empat produk OEM antaranya kopi tongkat ali, kopi manjakani, susu kambing dan soya kolagen.

"Selepas itu, kita buat pasaran seluruh Malaysia sebelum berlaku penambahan permintaan. Penghujung tahun 2012, kita lancarkan produk Tamar Cocoa yang kini antara paling laris di pasaran.

"Oleh kerana permintaan terlalu tinggi terhadap produk Tamar Cocoa, kita telah menubuhkan Al-Hadad Manufacturing Sdn Bhd pada 2014, bagi menampung pengeluaran minuman koko pracampuran kurma tersebut dan produk kopi yang lain,” katanya.

Lancar produk baharu

Pada 2017, katanya, syarikat itu telah melancarkan sebuah lagi produk minuman terbaharu dikenali sebagai Malt-IQ.

"Paling terbaharu, kita pasarkan Tamar Cocoa Go iaitu minuman Tamar Cocoa yang didatangkan dalam bentuk botol sedia diminum pada Mei 2018 dan Tamar Green Tea, Julai lalu, kedua-duanya dijangka akan meletup di pasaran,” katanya.

Menurutnya, ibu pejabat Al Hadad Marketing terletak di Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang dan satu lagi cawangan pentadbiran terletak di Pasir Gudang, Johor manakala kilang pemprosesan terletak di Kedah Halal Park, Sungai Petani.

Setakat ini, pihaknya berjaya mengeluarkan kapasiti 15 tan sehari Tamar Cocoa dan pengeluaran sepenuhnya boleh mencecah kepada 45 tan sehari.

Di Malaysia, sebanyak 300 stokis berdaftar merupakan penggerak utama memasarkan produk syarikat itu ke seluruh negara, manakala bagi pasaran luar, beberapa buah negara sudah pun berjaya ditembusi termasuk Indonesia, Thailand, China, United Kingdom, Jepun, Singapura dan Arab Saudi.

"Alhamdulillah, setakat ini kualiti yang kita pertahankan mampu menambat hati pelanggan tidak kira dari pelbagai latar belakang agama dan kaum.

"Kalau kita tengok, orang bukan Islam pun sekarang ini tercari-cari produk halal malah sesetengahnya begitu sukakan produk berasaskan herba seperti tamar atau kurma itu sendiri, itu yang membuatkan nilai tambah yang sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.

Al Haddad Marketing Sdn Bhd terletak di Bertam Perdana, Pulalu Pinang dan boleh dihubungi melalui talian 04-5770001 atau layari www.alhaddadmarketing.com.