AJINOMOTO (Malaysia) Bhd (Ajinomoto) terus positif dengan sasarannya untuk mencapai sehingga RM1 bilion nilai pendapatannya menjelang tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Naoko Yamamoto berkata, Ajinomoto menjangkakan sasaran tersebut dipacu portfolio pengguna yang menyumbang 91 peratus, manakala baki daripada industri.

"Syarikat juga terus komited meletakkan Kumpulan Ajinomoto sebagai 10 syarikat terbaik di dunia pada tahun kewangan 2020.

"Sasaran jangka panjang itu juga menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sembilan peratus itu akan disokong kestabilan dan pengukuhan dalam segmen perniagaan sedia ada," katanya ketika sesi dialog bersama media, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pentadbiran Ajinomoto Malaysia, Kamarudin Rasid dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Lau Chin Mun, baru-baru ini.

Yamamoto berkata, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2017 berakhir 30 September, Ajinomoto mencatat hasil jualan kira-kira RM211.8 juta, menyumbang kepada keuntungan selepas cukai sebanyak RM24.4 juta.

"Kami sasarkan bagi tempoh separuh kedua tahun kewangan 2017 berakhir 31 Mac 2018, Ajinomoto menjangkakan pertumbuhan kekal mampan dan berkemampuan untuk melepasi pendapatan jualan setahun penuh berjumlah RM420 juta dicatat pada tahun kewangan 2016.

“Kami positif dengan unjuran separuh kedua, yang mana pertumbuhan perniagaan pengguna dan industri kekal positif," katanya.

Yamamoto berkata, perniagaan domestik menyumbang 75 peratus kepada pendapatan Ajinomoto, manakala baki 25 peratus disumbang eksport terutama ke negara Timur Tengah

"Produk tertinggi jualannya untuk pengguna adalah segmen produk 'Aji-No-Moto' Perencah Umami, diikuti Seri-Aji dan Tumix," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RAMAI antara kita, takut untuk menggunakan produk penambah perasa Monosodium Glutamat (MSG) seperti Perencah Umami Ajinomoto dalam masakan kerana sering dimomokkan kesan negatifnya kepada kesihatan.
  • AJINOMOTO (Malaysia) Berhad (AMB) memenangi Anugerah Perak bagi Program Komuniti Terbaik pada Anugerah dan Sidang Kemuncak Tanggungjawab Sosial Korporat Global ke-9 (CSR) serta Anugerah Tadbir Urus Baik Global 2017, di Langkawi, Malaysia.
  • PROFESOR Kikunae Ikeda dari Universiti Imperial Tokyo menemui sejenis rasa yang tidak dapat dikenal pasti dan berbeza daripada empat rasa asas yang wujud dalam makanan sekitar 1908.