AJINOMOTO Co. Inc (Ajinomoto) bangga menjadi salah sebuah syarikat sukarela dalam sebilangan besar syarikat dalam menggerakkan usaha Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Dalam kenyataan medianya Ajinomoto berkata, terdapat beberapa sebab pihaknya terlibat dalam usaha tersebut.

Pertama, sebagai sebuah organisasi antarabangsa yang mempunyai cawangan besar, beroperasi di 30 negara dan berkecimpung dalam perniagaan yang mengubah sumber semula jadi menjadi produk makanan pada skala yang besar, Ajinomoto berada dalam kedudukan yang istimewa untuk menghasilkan perubahan yang nyata dan positif untuk dunia.

Kedua, Ajinomoto berasakan bahawa ia adalah suatu perkara yang sepatutnya dilakukan.

“Satu bidang yang kami berikan tumpuan secara khusus adalah tenaga boleh diperbaharui yang merupakan satu faktor penting untuk kelestarian planet dan sumber kita. Menggunakan tenaga boleh diperbaharui membantu dalam mencapai beberapa SDG,” kata Ajinomoto.

Pada April 2016, Ajinomoto Co. (THAILAND) LTD. memperkenalkan sistem penjanaan bersama biojisim di Kilang Ayutthaya di Thailand.

"Sistem penjanaan bersama menggunakan sumber haba untuk menjana tenaga elektrik dan stim yang diperlukan dengan persoalan sejauh manakah mesra ekologi bahan api tersebut. Dalam sistem Ayutthaya, sekam padi digunakan sebagai bahan api.

"Dengan menukar penggunaan bahan api fosil kepada bahan api biojisim, kilang berjaya mencapai pengurangan tahunan dalam pelepasan CO2 sebanyak kira-kira 59,000 tan," kata Ajonomoto.

Di samping itu tambahnya, kilang tersebut dapat menggantikan sebahagian daripada kuasa yang dibelinya dengan kuasa yang dihasilkan di tapak, yang telah mengurangkan kos tenaga dan juga meningkatkan keupayaan untuk memastikan kilang terus beroperasi meskipun bekalan tenaga elektrik terputus.

“Salah satu hasil pelaksanaan sistem penjanaan bersama biojisim ialah Ajinomoto Co. (Thailand) LTD. kini mengawal semua aspek pengeluaran bahan apinya sendiri, daripada mendapatkan sekam padi sehinggalah menggunakan abu hasil pembakaran dengan berkesan.

“Ini adalah contoh utama komitmen kami untuk mengurangkan penggunaan sumber semula jadi yang terhad, mengurangkan pencemaran, dan menggalakkan kejayaan penduduk dan perniagaan tempatan.

“Ajinomoto Co. komited melaksanakan ekonomi pusingan pada skala global, di kebanyakan negara-negara di mana kami beroperasi dan berniaga. Kami melakukannya melalui penumpuan fokus khusus dalam pengurangan sisa dan pembuangan, kitar semula, perkongsian, dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Dalam satu inisiatif yang serupa dengan Thailand, Ajinomoto Group di Brazil memasang dandang biojisim di tiga kilangnya di São Paulo, Laranjal Paulista, Limeira dan Pederneiras.

Hasilnya, dalam tempoh antara April 2016 dan Mac 2017, pelepasan CO2 berjaya dikurangkan 41 peratus hingga ke tahap hampir sifar.

“Dandang biojisim beroperasi di 10 kilang kami di seluruh dunia setakat ini. Matlamat kami adalah untuk mempunyai nisbah tenaga boleh diperbaharui sebanyak 50 peratus di seluruh operasi kami, termasuk 108 kilang kami menjelang tahun 2030.

“Kami bertanggungjawab terhadap pelanggan, pekerja, masyarakat setempat di mana kami beroperasi dan bumi itu sendiri,” katanya.