AIRASIA meneruskan usahanya memberikan kesedaran terhadap kanser dan menyokong pejuang kanser kurang bernasib baik melalui kempen #AirAsiaMAKNA.

Kempen tersebut yang kini memasuki tahun ketiga meneruskan jualan amal baju-t edisi terhad dengan rekaan juruterbang dan kru kabin.

Hasil jualan tersebut bernilai RM300,300 diserahkan melalui cek kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) di acara ‘#AirAsiaMAKNA: The Big Fight Fiesta’, baru-baru ini.

Cek tersebut diserahkan Pengerusi AirAsia Filipina dan pejuang kanser, Marianne Maan B Hontiveros; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat; dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, kepada Pengurus Besar Makna, Farahida Mohd Farid.

Pada majlis sama, program kesetiaan AirAsia, AirAsia BIG Loyalty turut menyerahkan dua juta Mata Ganjaran AirAsia kepada Makna untuk terus membantu pejuang kanser dari segi pilihan perjalanan udara.

Riad Asmat berkata, AirAsia mempunyai ramai Allstars alam kalangan pejuang kanser yang memberikan inspirasi kepada syarikat dengan ketabahan dan kesungguhan mereka.

“Sejak 2015, kempen ini telah mengumpul dana RM1 juta untuk bantu pejuang kanser kurang bernasib baik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Farahida berkata, kempen ini bukan hanya mengumpul dana semata-mata malah memperlihatkan kerjasama Makna bersama AirAsia membantu menyelamatkan dan memberikan impak positif kepada pejuang kanser.

“Bukan sahaja boleh terbang bersama AirAsia malah boleh membantu mereka yang memerlukan melalui kempen ini.  AirAsia adalah organisasi yang cakna terhadap komuniti di sekelilingnya. Inilah sebab utama kerjasama ini berjaya,” katanya.