logo-air-asia
Malaysia Airlines (MAS) dan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd.

KUALA LUMPUR - AirAsia Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Andrew Littledale sebagai Ketua Pegawai Kewangan kumpulannya yang baharu.

Pelantikan itu berkuat kuasa esok.

Littledale akan mengambil alih semua tanggungjawab kewangan dan perakaunan kumpulan itu.

Sebelum menyertai AirAsia sebagai pengawal kewangan kumpulan, beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai kewangan AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia, sejak penubuhannya pada 2007.

Datuk Kamarudin Meranun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, yang juga Presiden Kewangan, Perbendaharaan, Kewangan Korporat dan Perundangan Kumpulan AirAsia, berkata Littledale memiliki pengalaman luas dalam semua aspek kewangan, termasuk strategi, perancangan kewangan, perakaunan teknikal dan operasi perniagaan.

"Littledale telah membuktikan kepakaran, pengetahuan dan minat untuk terlibat dalam pertumbuhan AirAsia serta mengurus elemen kewangannya yang kompleks," kata Kamarudin dalam satu kenyataan.

Littledale memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Zoologi dari University of London dan kelayakan perakaunan dari Chartered Institute of Management Accountants.

Littledale menggantikan Rozman Omar yang berpindah ke Malaysia Airlines sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan syarikat penerbangan negara itu.- Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.