AIRASIA dipilih sebagai syarikat penerbangan tambang rendah utama bagi tahun keenam berturut-turut pada Anugerah Perjalanan Dunia bagi Asia dan Australasia 2018, di Hong Kong.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, anugerah itu adalah dalam kategori profesional pelancongan dan pengembaraan di seluruh dunia atas komitmennya dalam mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan, mengatasi Air India Express, Firefly, GoAir, JetKonnect, JetStar Airways, Lucky Air, Nok Air , Scoot, SpiceJet, Tigerair Taiwan dan West Air.

Ia juga dipilih sebagai Krew Kabin Terbaik Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia.

"Kami telah berusaha keras untuk meningkatkan pengalaman penumpang menerusi pendigitalan, daripada pemeriksaan masuk dan membeli-belah dalam talian sehinggalah kepada perkhidmatan pelanggan, dan pada masa yang sama mengekalkan layanan mesra unik Asia.

"Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha berterusan kami dalam menetapkan standard perjalanan udara kos rendah di rantau ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.