• AirAsia AirAsia
1 /

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, menawarkan harga tambang rendah istimewa kepada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke kampung halaman untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata tambang rendah itu akan dapat membantu mereka pulang pada hari pengundian yang akan diadakan pada 5 Mei.

"Kami menjangka ramai orang Malaysia yang akan melakukan perjalanan untuk kembali ke kawasan pengundian mereka masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Balik untuk mengundi menggunakan perkhidmatan penerbangan adalah pilihan yang lebih baik, terutamanya dengan kekerapan tinggi penerbangan domestik AirAsia, yang akan membolehkan ramai orang merancang perjalanan sehari bagi pilihan raya, dan barang kali merupakan cara terbaik untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia berkata rakyat Malaysia dari bandar-bandar di Indonesia boleh pulang untuk mengundi dengan tambang daripada sehingga serendah RM55 sehala, manakala tambang bermula daripada sehingga serendah RM120 dan RM124 sehala masing-masing
dari Singapura dan bandar-bandar lain di Asean.

Bagi penerbangan domestik seluruh Malaysia, tambang bermula daripada RM29 sehala bagi laluan seperti Kuala Lumpur ke Johor Baharu, Pulau Pinang, Alor Setar, Terengganu, Langkawi dan lain-lain.

Tambang istimewa itu juga termasuk penerbangan yang beroperasi dari hab lain AirAsia di seluruh negara.

Syarikat penerbangan itu berkata tambang murah itu sudah boleh ditempah di laman web AirAsia, www.airasia.com untuk tempoh perjalanan segera, serta menerusi platform tempahan mudah alihnya menerusi telefon berkeupayaan WAP di mobile.airasia.com dan AirAsia apps di peranti iPhone dan Android. - Bernama