SEBAGAI peruncit bertanggungjawab, Aeon Big mengambil insiatif untuk melaksanakan program 'Zero food wasted' di seluruh negara bermula kelmarin.

Menurut Pengarah Urusannya, Masayoshi Masuda, program ini diasaskan dengan mengambil kira saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya lebihan makanan daripada industri peruncitan dapat dikawal.

Untuk itu katanya, Aeon Big terpanggil untuk turut bersama KPDNHEP dalam menjayakan program Food Bank Malaysia.

"Sebagai sebuah syarikat peruncitan yang bertanggungjawab, kami percaya bahawa program ini akan berjaya mencapai objektif dengan mengumpul lebihan makanan yang tidak terjual untuk disalurkan kepada kumpulan sasaran supaya secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian sempena program pelancaran projek Program Food Bank Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Aeon Big Wangsa anjuran KPDNHEP.

Katanya, bagi menjayakan program berkenaan pihaknya akan bekerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen yang akan mengambil lebihan bahan makanan untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.