ADVANCE Tech Communications Sdn Bhd (Advance TC) menyasarkan jualan sebanyak 500,000 unit dengan nilai RM850 juta bagi produk baharu Magic Zlate 11, menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Loi Cheng Peng berkata, buat permulaan antara 100,000 ke 200,000 unit akan mula dijual di semua cawangan Courts Malaysia seluruh negara.

Manakala 200,000 unit lagi dijual melalui Gabungan Koperasi Universiti Bhd (Gakub) yang mempunyai 13 ahli di universiti utama di negara ini.

“Selain pasaran tempatan, kami intai peluang menembusi pasaran global terutama negara rantau Asia sebelum menerokai pasaran Eropah dijangka tahun depan,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Magic Zlate 11 di Courts Megastore, Bandar Sri Damansara, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Cheng Peng, produk dibangunkan oleh syarikat tempatan itu boleh didapati bermula April ini.

Tempahan bagaimanapun boleh dibuat mulai Jumaat lalu sehingga 31 Mei depan.

“Magic Zlate 11 adalah produk pertama dilancarkan di bawah inisiatif ini, dan 39 produk lagi bakal diperkenalkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Magic Zlate 11 adalah produk hibrid Ultrabook Tablet dua dalam satu dengan perisian Intel Qual-core dan Quad-core CPU terkini serta Windows 8.1, pada harga RM1,899 dan RM2,199 sebelum rebat (rebat bernilai RM250).

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.