KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) menamakan 30 jenama sebagai jenama Malaysia paling bernilai pada 2012.
   
Jenama tersebut ialah Affin Bank, AirAsia, Alliance Bank, AmBank, Bonia, Celcom, CIMB, DiGi, Dutch Lady, F&N, IOI Group, Maxis, Maybank, Old Town White Coffee, Padini, Parkson, Perodua, Petronas, Premier, Public Bank, Resorts World, RHB, SP Setia, Sime Darby, Sin Chew Daily, Sunway, The Star, TM, TV3 dan YTL.
   
Kedudukan ranking menurut nilai dengan penilaian bagi 30 jenama utama di Malaysia itu akan diumumkan pada majlis makan malam pada 17 Okt ini, yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tetamu kehormat.
   
Anugerah Jenama Paling Bernilai Malaysia (MMVB) mengukur nilai kewangan bagi jenama yang berasal dari Malaysia dengan syarikat induknya syarikat penyenaraian awam berdasarkan tiga komponen utama iaitu unjuran kewangan, peranan jenama dan pengukuhan jenama.
   
"Jenama merupakan aset ekonomi yang memainkan peranan utama dalam membentuk kekukuhan fiskal negara," kata Pengerusi Penganjur MMVB 2012 Jennifer Chan.
   
"Jenama pada kedudukan tertinggi tahun ini mempunyai cerita yang menarik dan mengagumkan untuk diberitahu. Melalui data yang ada, mereka mendedahkan diri mereka dalam sistem dan proses. Kejayaan mereka mempunyai makna yang sebenar dan ia datang dari teras yang mereka wakili sebagai jenama," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama