SEMPENA Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2017) tahun ini, seramai 20 pengilang Taiwan Excellence mempamerkan 35 produk merentasi empat kategori utama iaitu kediaman hijau, produk pelindungan peribadi alam sekitar, bahan-bahan binaan hijau dan lampu LED.

Perwakilan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia James Chang Chi-Ping berkata, pertumbuhan dan perkembangan teknologi hijau memberi faedah kepada setiap negara untuk mempeloporinya.

"Taiwan merupakan negara pelopor dan mempunyai hubungan baik dengan Malaysia. Justeru, kami yakin kerjasama selanjutnya di rantau ini akan membawa banyak potensi besar pada masa depan dan maju bersama pasaran hijau Asean," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perniagaan Hijau Malaysia (MGBA), Tan Sri Mustafa Mansur melahirkan rasa kagum dengan produk Taiwan Excellence terutamanya perkembangan produk-produk dan inovasi yang berterusan.

Menurutnya, perlindungan alam sekitar dan teknologi merupakan trend sejagat yang tidak boleh dihentikan dan kerajaan telah mempromosikan secara aktif industri hijau di negara ini.