11STREET menyasarkan peningkatan dua kali ganda jualan dalam kategori barangan runcit tahun ini didorong tambahan tawaran pelbagai jenis produk tersebut untuk menyokong trend membeli-belah yang semakin meningkat.

Ia turut dipacu kerjasama 11street dengan Just Order Conveniently On Mobile (Jocom), platform perdagangan mudah alih M-dagang yang mengkhususkan kepada barangan runcit dalam talian (online).

Naib Presiden Perdagangannya, Bruce Lim berkata, kategori barangan runcit menjadi fokus utama 11street pada tahun ini kerana ia menunjukkan lebih 30 peratus kenaikan dalam nilai dagangan kasar (GMV) direkodkan tahun lalu, berbanding 2016.

"Lebih ramai rakyat Malaysia dilihat mula membeli-belah barangan runcit dan barangan rumah lain secara online. Kami jangka kategori ini terus berkembang pada tahun ini," katanya selepas pelancaran Cooking Up Prosperity yang dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di Subang Jaya.

Bruce berkata, kerjasama dengan Jocom membolehkan 11street tawarkan pelbagai pilihan produk segar dan barangan beku lain sebagai persediaan Tahun Baharu Cina.

Selain itu katanya, kerjasama itu membuka saluran online untuk pembelian barangan runcit melalui 10 episod rancangan masakan Cooking Up Prosperity yang disiarkan secara strim online, setiap Selasa dan Khamis, berakhir Mac ini.

Bruce berkata, 11street menyasarkan peningkatan 20 peratus jumlah syarikat terkemuka yang akan menggunakan platform e-Dagang menjelang akhir tahun ini.

"Pada masa ini, sebanyak 47 syarikat terkemuka menggunakan platform 11street, dengan 90 peratus merupakan syarikat tempatan, manakala 10 peratus lagi daripada Korea, China dan Amerika Syarikat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jocom, Joshua Sew berkata, Jocom merancang memperluaskan perniagaan runcit onlinenya di seluruh negara menjelang suku ketiga tahun ini, termasuk pantai timur.

"Pada masa ini, perkhidmatan runcit dalam talian 11street tersedia untuk pengguna di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

"Justeru, kami berharap pertumbuhan belanja runcit online meningkat dan jumlah pesanan berganda dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • 11STREET, pasaran dalam talian terkemuka, menawarkan harga menarik untuk lebih 3,000 peralatan kediaman dan barangan runcit dengan diskaun sehingga 50 peratus, sempena Tahun Baharu Cina.
  • 11STREET, pasaran dalam talian yang popular di negara ini, berhasrat mengembangkan lagi jumlah penjual di platform tersebut kepada 50,000 usahawan pada 2018.
  • FUJIAIRE Sales & Services Sdn Bhd menjalin kerjasama bersama 11street Malaysia untuk mencapai lebih banyak pelanggan digital menerusi pendingin hawa dengan teknologi tanpa wayar (WiFi), siri Fujiaire Shibui Skin.