11STREET, pasaran dalam talian yang popular di negara ini, berhasrat mengembangkan lagi jumlah penjual di platform tersebut kepada 50,000 usahawan pada 2018.

Naib Presiden Operasi Dagangan 11street, Bruce Lim berkata, sehingga kini 11street mempunyai pangkalan penjual sebanyak 42,000 usahawan dan mahu mengembangkan sekurang-kurangnya 10 peratus lagi.

“Jumlah itu, kami percaya dapat ditingkatkan melalui usaha membantu penjual mencapai potensi perniagaan sepenuhnya melalui Akademi 11street yang kini mempunyai jumlah peserta sehingga 15,000 usahawan.

"Menerusi akademi tersebut, kami menyediakan latihan kepada penjual agar mereka dapat memiliki perniagaan online yang berkembang maju. Hasilnya kami sangat berbangga dengan 1,000 penjual yang telah lulus dari Akademi 11street tersebut," katanya.

Bruce Lim berkata, majoriti usahawan 11street menunjukkan peningkatan pendapatan jualan sehingga 20 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat kursus.

"Kami tidak pada hari ini tanpa banyak perkongsia dengan penjual kami termasuk merombak perancangan, menambah ciri-ciri baru dan meningkatkan sistem penjual untuk gambaran lebih baik.

"Kami juga rancang meningkatkan video tutorial bagi bantu penjual memanfaatkan platform kami untuk faedah mereka serta kempen menarik setiap bulan," katanya.