BAGI membantu kanak-kanak seawal usia 4 tahun memahami dan mempelajari solat dengan mudah dan cepat, sebuah syarikat tempatan milik Bumiputera, Aneeq Aqeel Enterprise memperkenalkan permainan islamik yang dikenali sebagai Monopoli Solat.

Pengarah Urusannya, Syahrul Waheeda Mohd Ali berkata, pada awalnya dia menghasilkan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran berbentuk permainan seakan monopoli yang dinamakan Saidina Uthmaniyah ketika mengajar tajuk Tamadun Islam.

“Saya faham untuk mempelajari sejarah bukanlah sesuatu yang mudah, oleh itu, permainan itu bertujuan untuk menarik pelajar mempelajari dan memahami Tamadun Islam, dan hasilnya sangat positif.

“Bermula daripada itu, saya mendapat idea membuat satu permainan yang boleh dimiliki oleh semua orang dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan,” katanya yang juga merupakan pensyarah Pendidikan Islam di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak.

Menurutnya, idea asal Monopoli Solat ini hasil perbincangan dengan adik iparnya, Mohd Ambri Ngarip juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan LKTP Ayer Hitam bagi membangunkan permainan itu dan mula dipasarkan secara kecil-kecilan pada tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya mengumpul maklum balas daripada pelanggan dan menambah baik produk dari masa ke semasa.

Sehinggalah akhirnya Monopoli Solat dijual secara meluas menerusi jualan atas talian (online) pada April tahun ini.

Mudah bantu kanak-kanak

Salah satu kelebihan Monopoli Solat adalah membantu kanak-kanak menghafal bacaan solat dengan lebih mudah.

Syahrul Waheeda berkata, di dalam permainan ini terdapat amalan latih tubi, di mana kanak-kanak perlu membaca bacaan tertentu dalam solat.

“Menerusi amalan itu ia akan memudahkan kanak-kanak menghafal bacaan menerusi latih tubi. Jadi, kanak-kanak akan lebih senang dan cepat menghafal bacaan solat,” katanya.

Selain itu, Monopoli Solat juga dilengkapi dengan kad ganjaran, papan bergambar, pilihan kad bonus dan soalan serta panduan bacaan solat.

Bagi memudahkan pengguna, permainan didatangkan dalam saiz yang mudah dibawa ke mana sahaja.

Menurutnya, Monopoli Solat disasarkan kepada kanak-kanak berusia empat tahun ke atas, yang mana telah dilatih dengan asas-asas solat.

Bagi memastikan Monopoli Solat tidak ditiru, Aneeq Aqeel Enterprise telah mempatenkan dan mendaftarkan Monopoli Solat dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada April lalu.

“Kami juga telah membawakan permainan ini kepada pakar agamawan untuk memastikan ia tidak bercanggah dan bersalahan dengan hukum Islam.

“Alhamdulillah, kami menerima maklum balas dengan baik dan sedang menambah baik produk dari masa ke semasa untuk menarik minat pembelajaran,” katanya.

Sejak dipasarkan pada April lalu, Aneeq Aqeel Enterprise mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara.

“Bagi pengeluaran seterusnya, kami akan mengeluarkannya mengikut permintaan pelanggan. Namun, harganya mungkin berbeza dengan harga sekarang,” katanya.

Buat masa ini, Monopoli Solat dijual dengan harga pasaran RM90 Semenanjung dan RM95 Sabah Sarawak untuk satu set termasuk penghantaran.

Buka peluang jadi ejen

Setakat ini, jualan Monopoli Solat adalah menerusi jualan atas talian (online).

Bagi meningkatkan jualan dan mengembangkan pasaran dengan meluas, syarikat itu membuka peluang mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ejen dan stokis di bawah jenama itu di seluruh negara.

“Kami mengalu-alukan sesiapa yang berminat menjadi ejen kami,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah menjual Monopoli Solat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Monopoli Solat juga menerima tempahan daripada Brunei dan Singapura menerusi jualan online,” katanya.

Hasrat Aneeq Aqeel Enterprise adalah untuk menjadikan Monopoli Solat ini dimiliki oleh setiap rumah dengan misi, satu rumah satu Monopoli Solat.

Menurutnya, perancangan jangka panjang syarikat adalah untuk menghasilkan Monopoli Solat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab agar ia boleh dimiliki bukan sahaja orang Melayu tapi umat Islam seluruh dunia, sekali gus meluaskan lagi pasaran jenama itu ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman Facebook dan Instagram; Monopoli Solat serta laman web www.monopolisolat.com.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :