BAKATNYA mula digilap sejak di peringkat sekolah menengah lagi apabila mula menyertai pertandingan debat dan mewakili sekolah ketika belajar di Sekolah Menengah Methodist (ACS) Parit Buntar, Perak. Kepetahannya bercakap membuatkan Nor Zizaleena Sahudin kini telah berjaya bergelar seorang peguam.

Mula menceburi bidang guaman pada tahun 2010 selepas menamatkan kursus chambering antara langkah awal untuk Zizaleena terus kukuh dalam kariernya. Walaupun sudah mempunyai pengalaman hampir enam tahun, Zizaleena menganggap dirinya masih lagi baharu dalam bidang ini dan perlu banyak menimba pengalaman.

Mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada mentornya iaitu Adi Hazlan Mawardi, membuatkan Zizaleena sentiasa bersedia dan yakin dalam setiap langkahnya terutama mengendalikan kes-kes tertentu.

“Saya tahu bukan senang sebenarnya untuk berdepan dengan klien yang pelbagai latar belakang. Namun dengan semangat dan tidak mudah melatah saya kini sudah boleh menyesuaikan diri dalam apa keadaan sekalipun.

“Ini pun hasil sokongan ibu bapa dan suami yang tidak pernah jemu memberi nasihat untuk saya agar sentiasa profesional dan bersikap adil. Sebolehnya saya mahu memberi keadilan kepada pihak yang teraniaya kerana mereka (klien) yang mendapatkan khidmat guaman ini sebenarnya mahu pembelaan jika mereka tidak bersalah.

“Dalam masa sama, karier saya sebagai peguam juga dianggap sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah antara dua pihak jika perkara itu dapat diselesaikan secara berdamai tanpa sebarang konflik, kata graduan Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Utara Malaysia ini.

Menurutnya, pengalaman yang diperoleh sejak beberapa tahun kebelakangan ini secara tidak langsung menjadikannya lebih matang dalam menjalani kehidupan harian yang banyak cabaran.

Tidak mahu terus berada dalam zon selesa, Zizaleena kini sedang menyambung pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tahun lalu.

Hasrat utamanya menyambung pengajian ini adalah untuk terus menimba ilmu dalam bidang tersebut kerana bidang guaman bukanlah sesuatu yang statik sebaliknya perlu sentiasa ada pembaharuan selari dengan perkembangan semasa.

Seimbang kerjaya dan pengajian

Anak kedua daripada empat beradik ini turut berkata, walaupun perlu bijak membahagikan masa antara karier dan pelajaran ia sama sekali tidak menjejaskan rutin harian.

Pada sebelah pagi Zizaleena perlu menyelesaikan kerja di pejabat atau mengendalikan kes di mahkamah, sebelah petangnya akan ke kuliah pula iaitu dari jam 6 petang hingga 10 malam. Mujurlah kelas yang dia perlu hadiri hanya dua kali seminggu.

“Penat memang penat tetapi saya rasa seronok kerana masih lagi dapat memberi komitmen dengan baik. Malah majikan saya juga turut memahami tuntutan tugas yang perlu saya lakukan sebagai pekerja dan penuntut universiti.

“Paling penting cita-cita saya mahu menjadi peguam yang berkaliber akan tercapai suatu hari nanti. Selagi ada peluang saya akan cuba kerana saya yakin jika berusaha pasti akan dapat ganjaran yang setimpal suatu hari nanti,” ujarnya.

Selain itu Zizaleena berkata, bergelar peguam bukanlah mudah kerana apa yang kita lakukan sentiasa dijadikan kayu pengukur oleh orang sekeliling.

“Ramai yang menyangka peguam adalah kerjaya popular seperti doktor. Namun perlu diingat beban tugas yang harus dipikul adalah besar. Jujur dan amanah dalam mengendalikan sesuatu kes antara yang perlu dititikberatkan.

“Ini bagi mengelakkan sebarang bentuk fitnah dan salah anggap dari orang ramai terhadap kredibiliti seseorang peguam itu,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman.

Minat dalam perniagaan

Sementara itu, bakat terpendam dalam diri peguam muda ini dalam bidang perniagaan telah membuka peluang kepada Zizaleena untuk menceburi bidang terbabit.

“Semenjak di universiti saya telah berniaga secara online. Perniagaan yang saya lakukan ketika itu adalah mengimport kasut dari Amerika Syarikat dan membawa masuk ke Malaysia.

“Namun selepas menamatkan pengajian saya hentikan dahulu perniagaan tersebut kerana ingin memberi fokus kepada kursus chambering dan fokuskan kepada kerjaya utama. 

“Bagaimanapun tahun lalu terdetik di hati ini untuk berniaga semula dan saya mula mengetengahkan produk baharu saya. Dengan mengguna pakai idea tersendiri, akhirnya saya telah berjaya mengeluarkan tudung di bawah jenama ZizaReen.

“Tudung yang menggunakan corak batik lukisan tangan ini telah berjaya menawan hati wanita bertudung yang inginkan kelainan dalam berfesyen selain dipakai untuk ke majlis formal atau ke tempat kerja.

“Alhamdulillah sejak dilancarkan pada bulan Oktober lalu secara online, permintaan amat menggalakkan. Baru saya tahu sebenarnya batik lukis ini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri,” jelasnya.

Menyimpan impian untuk mempunyai butik sendiri suatu hari nanti, Zizaleena berharap hasratnya itu akan tercapai. Cuma sekarang ini dia mahu fokuskan kepada karier utama dan perniagaan sebagai kerjaya sampingan untuk masa akan datang.

Suami pendorong kekuatan

Berkongsi sisi peribadinya pula, Zizaleena bersyukur dipertemukan jodoh dengan suami tercinta, Fazreen Ferdianshah Mohd Fauzi, 33.

“Suami ibarat ‘sahabat’ yang banyak memberi kekuatan kepada diri saya dalam apa sahaja keadaan. Dia antara individu yang sentiasa ada ketika saya susah dan senang. Malah dia juga kekuatan buat saya kerana apa sahaja yang dilakukan pasti dialah yang banyak bagi dorongan.

“Setiap apa yang dilakukan saya akan berbincang terlebih dahulu dengan suami bagi mendapatkan persetujuannya. Saya anggap cara ini antara kunci utama kebahagiaan kami sebagai suami isteri,” katanya.

Malah kesibukan Zizaleena tidak pernah sesekali mengehadkan masanya untuk bercuti dengan suami.

Baginya percutian ibarat terapi untuk dirinya lebih tenang selain menghilangkan stres. Lokasi pilihan Zizaleena adalah pulau dan pantai kerana kedua-dua tempat ini mempunyai keunikan selain pemandangannya yang menyamankan.

Profil Personaliti

Nama: Nor Zizaleena Sahudin

Umur: 30 tahun

Asal: Bangi, Selangor

Kelulusan: -Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

           - Sedang mengikuti Sarjana Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)    

Jawatan: 1) Peguam di Firma Tetuan Nik Saghir & Ismail, Kuala Lumpur

               2) Pengasas dan Pereka ZizaReen

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.