BUKIT MERTAJAM - Bekas timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Tan Hock Leong mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan bertanding sebagai calon bebas di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
   
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machang Bubuk itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mendapati PKR adalah sebuah parti yang tidak adil terutama dalam pemilihan calon untuk PRU13.
   
"PKR buat cara yang tidak adil kepada saya terutama dalam pemilihan calon, hanya tadi kira-kira pukul 11 pagi (semalam) saya dihubungi Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor (Othman) yang memaklumkan saya tidak terpilih.
   
"Beliau langsung tidak memberi sebarang alasan mengapa saya tidak dipilih dan sebelum ini juga tiada perbincangan mengenai perkara itu. Cuma saya difahamkan calon baharu dari Selangor akan bertanding di sini, dia tidak pernah turun di sini pun," katanya pada sidang akhbar di sini, malam tadi.
   
Beliau berkata, PKR yang kononnya sebuah parti memperjuangkan keadilan sebenarnya hanya mengamalkan kronisme.
  
"PKR hanya meletakkan kroni untuk calon mereka dan perkara ini bukan hanya berlaku di tempat saya sebaliknya di Perak, Selangor dan Kedah. Rakyat perlu buka mata tengok apa yang berlaku dalam parti itu,"  katanya.
   
Tan yang juga Ketua Cabang PKR Bukit Mertajam berkata, beliau yakin rakyat akan memilih calon terbaik dan bukannya parti seperti PKR dan percaya penduduk di Machang Bubuk memilihnya kerana kerja kerasnya selama lima tahun lepas.
   
Katanya walaupun diserang strok ringan pada 2011 dan pulih semula tiga bulan selepas itu, beliau tetap menjalankan tugas wakil rakyat dan Timbalan Speaker Dun seperti biasa.
   
"Saya harap pengundi di Machang Bubuk akan menilai pengorbanan dan hasil kerja keras selama lima tahun berkhidmat. Untuk makluman bukan saya seorang keluar daripada PKR sebaliknya ramai lagi terutama pengikut di sini turut serta," katanya.
   
Pada pilihan raya umum lepas, Tan mengalahkan calon BN, Datuk Lee Kah Choon dengan majoriti 4,080 undi. - Bernama