KUALA TERENGGANU - Bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu.

Beliau juga didakwa mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai ketua agama Islam yang mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institut Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu.

Ismail, 57, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu, yang dibuat mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ismail, yang juga bekas Mufti Negeri, didakwa bertindak secara bertulis, menghina Maidam melalui surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Terengganu pada 29 Oktober 2012, di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Jalan Sultan Mohamad, di sini.

Beliau didakwa membuat penghinaan itu melalui surat dengan kata-kata:

“Oleh yang demikian jelas kelihatan bahawa usaha Maidam untuk mengambil alih dan meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya adalah satu usaha ke arah melakukan perbuatan maksiat. Adalah menjadi tanggungjawab ke atas sesiapa yang bertanggungjawab supaya tidak memberi sokongan ke atas usaha sedemikian”.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ismail didakwa, pada tarikh dan tempat sama, mempertikaikan arahan Sultan Terengganu sebagai ketua agama Islam yang mengampuni perkenan pelaksanaan penstrukturan baru Institut Pentadbiran Agama Islam dan Adat Melayu dengan kata-kata:

“Soalnya adakah hasrat Maidam pada masa ini, yang mahukan pentadbiran Mahkamah Syariah diletakkan sebagai sebuah jabatan di bawah Maidam, dibuat secara musyawarah atau mengikut kehendak seseorang tertentu?

“Jika hasrat berkenaan diputuskan atas pandangan seseorang, apakah Maidam meninggalkan ajaran Islam sebagai mana kehendak firman ALLAH dalam ayat 38 atau sebahagiannya dari Surah Al-Syura itu? Jika musyawarah diadakan, berapa ramaikah ahli yang berkepakaran dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah khususnya, dijemput sama?

“Adakah cadangan yang hendak dilaksanakan Maidam itu bermaksud mahu mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran? Seterusnya timbul pula persoalan apakah hukumnya mengikut hukum syarak mencampuradukkan kuasa kehakiman ke dalam kuasa pentadbiran?.

“Soalnya, adakah tindakan Maidam yang sedang berusaha bersungguh-sungguh mahu meletakkan pentadbiran Mahkamah Syariah Terengganu di bawah kawalannya itu, bererti tidak mahu mengikuti hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tersedia dalam negara kita, baik pada peringkat negara, mahupun pada peringkat negeri?”.

Ismail berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah Ismail direkodkan, Kamalruazmi membenarkan Ismail diikat jamin RM800 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi memberi peluang beliau melantik peguam.

Ditemui media di pekarangan mahkamah, Ismail berkata, beliau tiada niat jahat apabila menghantar surat berkenaan, tetapi melakukannya atas dasar tanggungjawab.

“Saya tiada niat jahat. Saya cuma menegur apabila cadangan supaya Mahkamah Syariah diletakkan di bawah Maidam.

“Saya tidak takut kerana saya menegakkan kebenaran mengikut hukum syarak. Saya hanya takut pada ALLAH. Maruah saya cuba dijatuhkan kerana menegakkan kebenaran. Tunggu sajalah, kes pun baru berjalan dan belum diputuskan bersalah atau tidak,” katanya yang bersara 28 Februari lalu.

Ismail dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Terengganu pada 1 Julai 2004, sebelum menjadi Mufti Terengganu bermula 1 April 2006. Pada 1 April 2008, beliau dilantik kembali sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri sebelum diarahkan meninggalkan pejabat dan jawatannya pada 28 Februari 2012.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.