• Zurani menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian kelmarin yang memaparkan kisah dua anak dan ibunya mengemis. Zurani menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian kelmarin yang memaparkan kisah dua anak dan ibunya mengemis.
1 /

KOTA BHARU- “Saya tidak sekejam itu, masih punyai perasaan dan tidak sanggup biar anak dan ibu mengemis di jalanan,” kata Zurani Ramlan, 38.

Itu luahan bapa kepada dua kanak-kanak yang ditemui di hadapan masjid Muhammadi bersama nenek mereka yang berkerusi roda yang mendakwa terpaksa ponteng sekolah sejak seminggu lalu ketika ditemui dalam Ops Ramadan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam kelmarin.

“Bukan niat saya untuk tinggalkan mereka sendirian di kawasan itu saya membawa ibu di kawasan masjid berkenaan untuk mendapatkan bantuan zakat, tetapi keadaan ibu yang uzur menyebabkan saya risau meninggalkan dia keseorangan jadi saya tinggalkan dua anak saya, Muhammad Zulfahmi Zurani, 9 dan Nur Alia Maisarah, 8, bersamanya.

“Saya kesal dengan laporan yang dikeluarkan akhbar dan media masa yang seolah-olah menuding jari kepada saya kononnya saya sengaja menyuruh anak-anak meminta sedekah dan mempergunakan ibu yang uzur untuk meraih simpati,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, semalam.

Zurani tampil memberi penjelasan memandangkan perkara terbabit menimbulkan aib kepada diri dan keluarganya dan dengan luahannya ini dia berharap supaya masyarakat tidak melemparkan tohmahan kepadanya.

“Saya perlu membersihkan nama keluarga saya, ini kerana maruah keluarga lebih penting dari segalanya dan diharap dengan pendedahan ini dapat membuka mata masyarakat bahawa saya tidak mengajar anak untuk mengemis di jalanan malah jauh sekali untuk makan hasil daripada pemberian masyarakat.

“Saya masih ada maruah, dan untuk menyara keluarga saya berniaga di bazar Ramadan dengan menjual air kelapa bagi mendapatkan punca pendapatan untuk menyara keluarga. Biarpun keuntungan tidak seberapa namun saya reda dan bersyukur setakat ini anak-anak tidak berlapar dan tidak hidup merempat,” katanya.