• Projek Bandar Baru Tunjong Projek Bandar Baru Tunjong bakal menjadi pemangkin kemajuan Kelantan.
1 /

KOTA BHARU – Projek Bandar Baru Tunjong (BBT) merupakan salah satu agenda pembangunan yang membuktikan kemajuan negeri ini dalam pelbagai bidang seterusnya menepis tohmahan mengatakan Kelantan negeri mundur.

Pengurus Besar Tunjong Development Corporation, Nazri Deraman berkata, projek yang dimulakan sejak tahun 2000 itu memberikan ruang dan tapak yang strategik kepada pembangunan negeri ini menggunakan tanah yang masih belum digunakan.

“Oktober 2005, Bahagian Khas BBT diwujudkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan sejak itu PMBK secara langsung terlibat dengan segala urusan membuat perancangan ke atas pelan pembangunan di kawasan tersebut.

“PMBK juga menubuhkan anak syarikat miliknya iaitu Tunjong Development Corporation Sdn Bhd (TDC) dan hasil daripada perancangan tersebut juga kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan terlaksana,” katanya.

Menurutnya, kini BBT memiliki pelbagai pembangunan baru seperti Terminal Makanan Negara, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Jabatan Audit Negara, dan sebagainya.

Beliau berkata, tanah seluas lebih kurang 1,600 ekar itu antara pembahagian peruntukan rezab 250 ekar untuk dibangunkan Kerajaan Pusat manakala 1,000 ekar dimajukan dengan pembangunan komersial dan perumahan Kerajaan Negeri Kelantan.