SHAH ALAM- Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan sebanyak dua bayaran dibuat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi projek pembinaan kampus tetapnya berjumlah RM2.51 juta kepada Perunding Pengurus Projek (PMC) walaupun kontrak belum ditandatangani.

Menurut laporan itu, pada 15 Januari 2002, Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan kontraktor iaitu Konsortium Pauh Indah melalui konsep reka dan bina sebagai kontraktor utama dan Crimson Network Sdn. Berhad sebagai PMC.

Bagaimanapun, PMC itu ditamatkan perkhidmatannya pada 28 November 2006 dan pengurusan projek dipertanggungjawabkan kepada Unit Projek Khas Kampus Tetap, UniMAP bagi Pakej 3B dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pakej 4.

“Kontrak antara UniMAP dan PMC ditandatangani pada September 2009 iaitu kelewatan 16 bulan,” kata laporan itu.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan kualiti kerja kontraktor bagi pembinaan kampus tetap UniMAP di Pauh Putera, Arau secara keseluruhannya tidak memuaskan.

“Tidak sempurna, tidak kemas dan tidak sesuai kerana terdapat keretakan pada permukaan dinding Dewan Kuliah 6, kesan air di dinding dan lantai bangunan dan pembinaan lurang yang tidak sesuai di kawasan parkir.

“Peralatan yang dibekalkan untuk bangunan bagi Pakej 3B dan Pakej 4 tidak berfungsi sepenuhnya dan rosak. Kontrak bagi Pakej 3B dan Pakej 4 telah lewat dimuktamadkan selama 20 bulan dan 14 bulan dari tarikh Surat Niat dikeluarkan,” dedah laporan itu.

Sementara itu, laporan audit turut memberitahu hanya 25 peratus bangunan UniMAP berjaya disiapkan daripada perancangan asal.

“UniMAP telah menyiapkan empat bangunan akademik dan tiga bangunan dan menanggung kos sewaan bangunan dan sewaan bas dari tahun 2002 hingga bulan September 2012 berjumlah RM138.40 juta,” jelas laporan itu.