Ahli PKR Perak keluar parti 'berjemaah'

Ahli-ahli PKR Perak menanggalkan baju tertera logo parti itu sebagai gimik tindakan mereka keluar PKR hari ini.
Ahli-ahli PKR Perak menanggalkan baju tertera logo parti itu sebagai gimik tindakan mereka keluar PKR hari ini.
A
A
A

IPOH - Kira-kira 400 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada 24 cabang di Perak mengumumkan keluar parti hari ini.

Wakil ahli tersebut, Id Azalan Shah Banyamin berkata, keputusan itu dibuat sebagai membantah pemecatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin daripada parti tu.

Menurutnya, tindakan keluar parti itu juga sebagai protes terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menyatukan anggota parti terutama dalam kalangan pimpinan Pusat.

"Pergolakan dalaman parti berlaku sangat hebat sehingga mendapat liputan media dari dalam dan luar negara.

"Masing-masing sering mengeluarkan kenyataan balas bagi mengekspresikan ketidakpuasan hati mereka," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini hari ini.

Antara pimpinan di peringkat cabang yang hadir adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ipoh Timur, Zafril Eusoff; Setiausaha Wanita PKR Perak, Sharifah Hazlina Syed Musa; Timbalan Ketua Srikandi PKR Perak, Wan Noor Nadhilah Id Azalan Shah dan beberapa bekas ketua cabang PKR Perak.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ketua PKR Cabang Lenggong berkata, ahli-ahli parti melihat PKR seolah-olah hilang fokus selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, agenda utama kemenangan Pakatan Harapan (PH) selepas membentuk kerajaan adalah untuk membina semula negara, malangnya tumpuan lebih diberikan kepada agenda peralihan kuasa perdana menteri sehingga mengheret pentadbiran agar tunduk kepada agenda peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga melihat imej atau kredibiliti parti tercalar dengan beberapa insiden merusuh seperti di Kongres Nasional AMK di Melaka yang menjadi titik permulaan kepada hilangnya rasa hormat ahli kepada presiden parti.

"Serangan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Cua dengan membaling botol dan menampar pemimpin itu disifatkan sebagai biadab serta tidak wajar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tian Chua diserang, dibaling botol

Sementara itu, bekas Ketua Cabang PKR Pasir Salak, Azwan Ramli berkata, tindakan keluar parti pada hari ini merupakan permulaan kerana terdapat lebih ramai lagi ahli yang berhasrat untuk berbuat demikian.

Katanya, sehingga kini, kesemua yang keluar parti belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti, namun akan mendapatkan nasihat daripada Mohamed Azmin.

Pada sidang media itu juga, ahli-ahli PKR turut membuat gimik dengan menanggalkan baju yang tertera logo PKR sebagai tanda mereka telah keluar daripada parti itu.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam kenyataan medianya berkata, tindakan beberapa ahli yang keluar parti itu tidak langsung memberi impak kepada kekuatan PKR di peringkat akar umbi.

Katanya, bilangan mereka yang keluar parti amat sedikit berbanding keanggotaan sedia ada di Perak iaitu berjumlah lebih 70,000 ahli.

"Pada minggu ini sahaja, pihak Majlis Pimpinan PKR Perak menerima pertambahan sebanyak 700 anggota baharu yang memilih PKR sebagai wadah perjuangan mereka.

"Berikutan tindakan ahli parti yang telah membuat keputusan untuk meninggalkan perjuangan reformasi kita, saya harap mereka sedar pengkhianatan mereka adalah kepada rakyat Malaysia," katanya.

Farhash Wafa Salvador berkata, pihaknya lebih cenderung melihat tindakan itu sebagai gerakan pembersihan parti sekali gus menjadikan parti lebih kuat kerana kini tidak wujud lagi kabilah 'kartel'.