Waspada, ubur-ubur beracun muncul di Marang!

Ubur-ubur jenis Portuguese Man o'War yang ditemui di pantai Pulau Kekabu, Marang. Gambar kanan : Anggota APM membuat pemantauan di pantai. Foto: APM
Ubur-ubur jenis Portuguese Man o'War yang ditemui di pantai Pulau Kekabu, Marang. Gambar kanan : Anggota APM membuat pemantauan di pantai. Foto: APM
A
A
A

MARANG - Selepas penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o'War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus, pada Isnin, haiwan marin beracun itu kini ditemui pula di Pantai Pulau Kekabu, di sini pada Rabu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, ubur-ubur itu dijumpai sekitar jam 10.30 pagi ketika petugas APM melakukan rondaan rutin harian di sekitar pantai tersebut.

Menurutnya, tinjauan di sekitar kawasan kemudian berjaya menemukan sebanyak tujuh ekor ubur-ubur Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ terdampar di pantai.

"Anggota APM telah mengumpulkan semua ubur-ubur berbahaya ini dan bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Mujahid berkata, susulan penemuan itu pihaknya akan meningkatkan rondaan di pesisir pantai terutama di lokasi tumpuan pengunjung.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya memaklumkan sebarang penemuan ubur-ubur beracun ini kepada petugas pantai supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Jika terjumpa ubur-ubur ini, jangan sentuh atau pegang kerana ia masih beracun dan berbahaya walaupun sudah mati.

"Ubur-ubur ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan ubur-ubur berbahaya jenis Portuguese Man o'War di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus merupakan kes pertama direkodkan di pantai tersebut pada tahun ini.

Kehadiran ubur-ubur itu disedari selepas ada pengunjung memuat naik penemuan dalam media sosial dan susulan itu, anggota APM telah membuat pemantauan di Pantai Seberang Takir.