'Katak-katak politik tidak diterima sama sekali' - Najib

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka yang memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat dan memimpin negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran dan bukannya katak-katak politik yang memaksa PRN diadakan di negeri tersebut.

"Satu pilihan raya yang sebenarnya tidak perlu diadakan dan terpaksa dibuat kerana PH (Pakatan Harapan) berkomplot dengan empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk menarik sokongan daripada kerajaan negeri.

"Rakyat telah bersuara serta membuat pilihan dan rakyat juga telah menghantar mesej jelas. Pencapaian harus diutamakan dan janji wajib ditepati. Katak-katak politik tidak diterima sama sekali dan rakyat mahukan kestabilan demi kemakmuran," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN memenangi 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan sekali gus berjaya membentuk kerajaan di Melaka.

Dalam pada itu, Najib turut yakin Melaka akan bertambah baik, stabil dan makmur di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Saya juga ingin menambah di sini bahawa rakyat boleh berpegang kepada janji manifesto BN Melaka dan kita sama-sama usahakannya. Kepada ADUN-ADUN BN dan kepimpinan kerajaan negeri Melaka, mandat telah diberikan oleh rakyat.

"Buat sehabis baik, tunaikan janji BN dan laksanakan urus tadbir yang cemerlang di Melaka. Melaka telah banyak ketinggalan sejak PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dan kita perlu kembalikan Melaka ke landasan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Melaka juga perlukan pemulihan ekonomi dan urus tadbir kebajikan rakyat yang lebih baik," katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada akar umbi Pas di Melaka yang turut memberikan sokongan atas dasar dan semangat Muafakat Nasional di kawasan-kawasan tertentu.

"Walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi hala tuju bersama pada masa ini, namun ahli-ahli kita semua tidak lupa usaha-usaha dahulu ke arah pembentukan Muafakat Nasional dan hanya mahukan yang terbaik. Persaudaraan yang terjalin atas semangat perjuangan dan keikhlasan tidak akan terputus," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my