• ABD MUTALIB ABDUL RAHIM ABD MUTALIB ABDUL RAHIM
1 /

"SEBAGAI Pengerusi Jawatankuasa Agama, memang banyak cabaran saya tempuhi termasuk menguruskan pembangunan tanah wakaf di negeri Johor. Saya juga berdepan dengan cabaran mengenai enakmen pentadbiran supaya selaras dengan undang-undang tubuh negeri Johor. Ini termasuk dari aspek jawatan Mufti Johor yang menyelaraskan fatwa di semua negeri serta menyelesaikan pelbagai kes mahkamah syariah yang tertangguh serta melaksanakan pembangunan di mahkamah syariah di negeri ini. Saya lihat, antara kes yang sering tertangguh ialah perceraian dan tuntutan nafkah. Saya turut memberi tumpuan aspek penguatkuasaan halal yang akan diperketatkan. Masalahnya, kami kurang kakitangan. Tapi, apa pun cabarannya, kami sedia melaksanakan KPI yang ditetapkan untuk memperkasa agama Islam di Johor.

Apa yang saya dah buat dalam tempoh 100 hari? Saya telah memperkasakan pendidikan agama dengan melantik dan menaikkan pangkat guru-guru. Bantuan melalui projek perumahan rakyat (PPR) untuk fakir miskin juga berjaya dilakukan dengan peruntukan RM40 juta. Lebih 1,000 penerima akan dapat mengikut kelayakan yang ditetapkan Majlis Agama Islam Johor (Maij) serta bantuan baik pulih rumah. Saya juga sedang menyusun semula kedudukan aset-aset sedia ada untuk dibahagikan kepada asnaf-asnaf tertentu dengan melaksanakan penambahbaikan supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Saya meneruskan apa yang dirancang sebelum ini termasuk bantuan setiap bulan kepada mereka yang layak. Saya juga sedang melaksanakan penyusunan semula organisasi Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) melibatkan proses pelantikan Ketua Eksekutifnya. Untuk jangka masa panjang, 56 buah sekolah agama baru sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan. Ia dibina mengikut keperluan dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat termasuk di Taman Mutiara Rini, Yong Peng dan sebagainya. Saya bercadang menyediakan bantuan baik pulih rumah kepada individu yang ditimpa musibah atau kecelakaan secara tiba-tiba. Contohnya mereka ditimpa kebakaran. Saya juga akan menubuhkan unit hab halal untuk menangani masalah berkaitan seberapa segera yang mungkin. Ia membabitkan soal produk yang dihasilkan, premis, pembungkusan dan sebagainya.

Bagi memastikan apa yang dirancang berjaya, saya akan bermesyuarat dengan setiap unit atau jabatan berkaitan untuk mendapatkan maklum balas. Saya sendiri akan turun padang, mendapatkan laporan bertulis dan saya akan semak setiap tiga bulan. Di samping memberi taklimat supaya mereka faham kerja dan mengikut gerak kerja sistematik supaya mencapai tahap ISO yang ditetapkan."