KUALA LUMPUR - Skuad hoki negara tidak mempunyai pilihan untuk layak ke Piala Dunia 2014 kecuali merangkul gelaran pada saingan Piala Asia 2013 di Stadium Hoki Sultan Azlan, Ipoh, Perak dari 24 Ogos hingga 1 September ini.

Tugas berat menanti skuad bimbingan Paul Revington apabila Malaysia perlu menjuarai Piala Asia sekiranya mahu menjejak kaki ke Piala Dunia di The Hague, Belanda, dari 2 hingga 15 Jun tahun depan.

Justeru, penjaga gol kebangsaan S. Kumar menuntut rakan sepasukan bekerja keras untuk mengatasi kelemahan dalam sesi latihan dan memberi tumpuan penuh pada setiap perlawanan pada kejohanan itu.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah meletakkan sasaran juara untuk anak buah Revington dan memandangkan kejohanan itu menawarkan slot tunggal ke Piala Dunia maka sudah pasti cabaran di Ipoh nanti paling sengit.

Kumar memberitahu Bernama di sini bahawa setiap pemain perlu menyahut cabaran itu dengan penuh tabah dan berkeyakinan diri dalam membawa nama negara ke persada dunia serta mencipta sejarah hoki negara dengan merangkul kejuaraan itu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Pakistan dan Jepun manakala Kumpulan B melibatkan Korea Selatan, India, Bangladesh dan Oman.

Penjaga gol utama negara itu mengakui pemergian tonggak pasukan mendiang Chua Boon Huat dalam kemalangan jalan raya 1 Ogos lepas memang memberi kesan di benteng pertahanan namun percaya Revington akan mempunyai penawar.

Beliau percaya semua pemain akan menampilkan persembahan terbaik masing-masing bagi memenuhi impian mendiang Boon Huat untuk layak ke Piala Dunia dengan menjulang Piala Asia di Ipoh nanti.

Kumar bagaimanapun optimis dengan kemampuan pasukan walaupun menganggap Pakistan dan Korea Selatan sebagai seteru utama pasukan pada saingan kali ini.

Berbekalkan semangat mahu membalas jasa mendiang Boon Huat dan kelebihan beraksi di halaman sendiri, Kumar percaya sokongan padu penonton akan merancakkan lagi semangat juang pemain untuk mencapai kejayaan.

Beliau berharap semua pemain dapat memperkasakan kekuatan mental masing-masing ketika menghadapi saat-saat genting dalam setiap perlawanan selain melakukan penyudahan dengan setiap peluang yang terhidang di depan pintu gol lawan.

Sebelum memulakan kempen Piala Asia, skuad negara dijadual mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang India dan Jerman, seminggu sebelum kejohanan itu.

"Kita sudah dimaklumkan mengenai perlawanan persahabatan tersebut namun tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Jadi buat masa sekarang kita hanya mengadakan sesi latihan seperti biasa," katanya.- Bernama