• Mati dalam kebun pisang Mayat mangsa yang ditemui terlentang di tempat kejadian.
  • Mati dalam kebun pisang Anggota polis membawa mayat mangsa keluar dari kebun pisang tempat ditemui.
  • Mati dalam kebun pisang WAN JAMIL
1 /

SELAMA – Seorang pekebun terkejut apabila menemui mayat warga emas di kawasan kebun pisang berdekatan pemancar Digi, di Redang panjang satu kilometer dari rumah mangsa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Hasan Awang, 71, ditemui  pekebun berkenaan yang kebetulan berada di kawasan itu dan terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Seperintendan  Wan Jamil Wan Chik berkata, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan masih lengkap berpakaian, selain mempunyai parang panjang di sisi sebelah kanannya ketika mayat ditemui.

Menurutnya, difahamkan mangsa mati mengejut akibat serangan jantung ketika menebas di kebun miliknya.

“Kami mendapati masih ada kesan semak yang ditebas mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Wan Jamil berkata, mangsa tinggal di Perumahan Awam Redang Panjang dan dimaklumkan kali terakhir dilihat jiran  pada Ahad lalu ketika menghadiri satu majlis kenduri pada waktu tengah hari.

Jelasnya, mangsa dipercayai keluar ke kebun berkenaan pada waktu petang selepas menghadiri kenduri.

"Mangsa ke kebun dengan menunggang motosikal dan diletakkan berhampiran sebuah pondok.

“Malah difahamkan mangsa sebelum ini pernah mengalami strok dan sakit jantung,, Kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Wan Jamil berkata, mangsa tinggal berseorangan selepas kematian isteri manakala anak-anak tinggal berasingan selepas mendirikan rumah tangga.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat,” katanya.