• Datuk Sohaimi Shahadan Datuk Sohaimi Shahadan
1 /

KOTA BHARU - Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), institut pengajian tinggi swasta terbesar Bumiputera, kini menawarkan kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada kemasukan kolej tersebut pada bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata setakat ini, kursus berkenaan hanya ditawarkan di KPTM kampus Kota Baharu dan seramai 300 pelajar telah terpilih untuk menyertai kursus tersebut pada kemasukan 24 Jun ini.

"Kita mendapat sehingga 2,000 permohonan dari seluruh negara untuk menyertai kursus ini namun kita hanya boleh hadkan pengambilan kepada 300 pelajar untuk permulaan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan kejohanan dwitahunan Sukan Kolej Poly-Tech MARA (SUPTEM) 2013 di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden Akademik KPTM, Ismail Junuh; Timbalan Pengarah MARA Kelantan, Mohd Nazri Mohd Saman; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Mohd Sulji Zakaria; dan Pengarah KPTM kampus Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Husin.

Sohaimi berkata kampus Kota Baharu dipilih sebagai perintis bagi projek tersebut memandangkan ia mempunyai kelengkapan sama digunakan untuk kursus kejururawatan.

Sementara itu, Sohaimi berkata, KPTM di seluruh negara akan menerima seramai 6,000 pelajar baharu untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan bagi kemasukan terbaru Jun ini. - Bernama