• Kamarudin selamat disemadikan Fatimah menyiram air di pusara suaminya, Kamaruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung, kelmarin.
1 /

KOTA BHARU - Arena bola sepak negara kelmarin dikejutkan dengan pemergian bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 70-an, Kamarudin Mohd Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Kamarudin, 57, yang merupakan penolong Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur jam 6.30 petang kelmarin.

Jenazah Penolong Jurulatih ATM itu, selamat disemadikan di tanah Perkuburan Islam Panchor, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Turut hadir pada majlis pengebumian itu, Ketua Jurulatih ATM, B Sathianathan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim dan pemain-pemain Kelantan era 80 hingga 90-an.

Sementara itu, isteri arwah Fatimah Mohd Zaman, 52, berkata, sehari sebelum meninggal dunia suaminya itu pernah menyatakan hasrat untuk berehat di hospital selepas berasa tidak sihat.

“Suami saya tidak sempat memesan apa-apa sebelum menghembuskan nafas terakhir. Saya hanya sempat berjumpanya semalam (kelmarin) di hospital dan ketika itu dia sudah berada dalam keadaan separuh sedar.

“Saya tidak mengetahui dia ada mengidap sakit jantung sebelum ini. Saya hanya mengetahuinya selepas doktor mengesahkan arwah menghadapi masalah jantung yang kritikal ketika menerima rawatan di PPUM, semalam (kelmarin),” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Fatimah, Allahyarham dikurniakan empat cahaya, Mohd Kahirul Fitri, 28, Mohd Fakhrul Fariz, 24, Mohd Fakhrul Faiz, 22 dan Fatin Amani,17.

Kamarudin pernah menyarung jersi kebangsaan dan Kelantan pada tahun 1970-an dan juga pernah menjadi jurulatih Kelantan pada 1998.

Antara kejayaan Allahyarham sebagai jurulatih ialah membimbing Kelantan menjuarai Liga FAM pada tahun 2005 serta menjadi salah satu tonggak penting membawa ATM merangkul juara Liga Perdana tahun lalu.