• Pelakon, Lisa Surihani bersama Jovian Mandagie pada majlis pengenalan koleksi terbaru dan pembukaan butik J Store. Pelakon, Lisa Surihani bersama Jovian Mandagie pada majlis pengenalan koleksi terbaru dan pembukaan butik J Store.
1 /

PEREKA, Jovian Mandagie kini bekerjasama bersama selebriti Lisa Surihani bagi menghasilkan koleksi terbaru sempena musim perayaan ini serentak pelancaran butik pertamanya, J Store, semalam.

Bakal mempamerkan 20 rekaan hasil ilham Jovian dan Lisa, koleksi ‘Lisa Surihani for Jovian’ ini akan memberi hasil berbeza sekali gus menyerlahkan personaliti Lisa melalui penglibatannya dalam rekaan tersebut.

Menurut Jovian, koleksi ini akan melibatkan hasil rekaan baju kurung moden, kurung kedah dan jubah moden yang beraspirasikan karakter Lisa.

“Antara sebab utama mengapa saya memilih Lisa adalah kerana beliau mempunyai reputasi yang baik sebagai seorang anak seni dan digemari oleh peminat filem tempatan.

“Menerusi kerjasama ini, Lisa diberi peluang untuk memilih sendiri warna, motif dan jenis kain mengikut pilihan yang disukai,”katanya pada sidang media pembukaan butik dan pengenalan koleksi terbaru, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, pemberian nama bagi setiap rekaan seperti Mira, Maimunah dan Maznah juga diolah sendiri oleh Lisa berdasarkan mereka yang berkait rapat dalam hidupnya.

Sementara itu, Jovian berkata, butiknya bukan sahaja menawarkan pakaian wanita, tetapi akan memperkenalkan pakaian untuk lelaki dan kanak-kanak Jun ini.