KOTA BHARU - Jenazah penolong ketua jurulatih pasukan bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kamaruddin Mohd Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor di sini, hari ini.  

Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung semalam. 

Kamaruddin, 57, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas mengadu sakit dada.

Jenazah Allahyarham yang dihantar menggunakan van jenazah ATM itu, tiba di kediamannya di Kampung Panji, di sini pukul 8 pagi dan selamat dikebumikan kira-kira sejam kemudian.    

Kamaruddin meninggalkan seorang balu, Fatimah Mohd Zaman, 52, dan empat anak Mohd Kahirul Fitri, 28; Mohd Fakhrul Fariz, 24; Mohd Fakhrul Faiz, 22; dan Fatin Amani, 17.

Ketua Jurulatih ATM, B Sathianathan; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim; dan legenda bola sepak negara, Dali Omar antara yang menghadiri majlis pengebumian tersebut.

Fatimah ketika ditemui pemberita berkata arwah suaminya itu pernah menyatakan hasrat untuk berehat di hospital selepas berasa tidak sihat sehari sebelum beliau meninggal dunia.

Suami saya tidak sempat memesan apa-apa sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Saya hanya sempat berjumpanya semalam di hospital dan ketika itu dia berada dalam separuh sedar. 

"Saya tak tahu dia ada menghidap sakit jantung sebelum ini. Saya hanya mengetahuinya selepas doktor mengesahkan suami saya menghadapi masalah jantung yang kritikal ketika menerima rawatan di PPUM, semalam," katanya.

Sementara itu, Sathianathan berkata ketiadaan Kamaruddin satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara, khususnya kepada pasukan ATM.

"Saya akan berusaha merealisasikan harapan arwah Kamaruddin sebelum ini mahukan ATM menjadi sebuah pasukan bola sepak terbaik dalam negara," katanya.

Allahyarham Kamaruddin pernah menyarung jersi kebangsaan dan Kelantan pada tahun 1970-an dan pernah menjadi jurulatih Kelantan pada 1998.  - Bernama