KUALA TERENGGANU - Polis akan menggunakan khidmat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di sini untuk mengambil keterangan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata keterangan kanak-kanak itu akan mula diambil esok.
   
Polis juga akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan dan polis telah mengambil keterangan daripada ibu kanak-kanak itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
Katanya suspek berusia 28 tahun yang merupakan teman lelaki ibunya yang diberkas Rabu lalu direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
   
Manoharan berkata kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
   
Isnin minggu lepas Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu yang dipercayai menjadi mangsa dera. Kecederaan paling serius dihadapi kanak-kanak malang itu ialah di bawah tapak kakinya yang melecur akibat bahan panas. - Bernama