• penamaan calon
1 /

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) dijangka dapat menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Tumboh yang majoriti pengundinya adalah golongan pondok apabila mempertaruhkan pendakwah bebas, Mohd Syamsul Mohd Yusoff.

Bagaimanapun lulusan tahfiz al-Quran dan tafsir di Pusat Pengajian Al-Awwali, Madinah itu perlu bekerja keras kerana lawannya dari parti Pas, Abdul Rahman Yunus juga merupakan tokoh agama yang terkenal di kalangan penyokong tegar Pas.

Manakala satu-satunya calon wanita di Parlimen Pasir Tumboh iaitu Mumtaz Nawi yang bertanding sebagai calon Pas di Dun Demit akan bertemu dengan calon BN, Wan Mohd Nazi Wan Hamat.

Kedua-dua mereka adalah muka baru bagi Pulihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini dan dijangka Mumtaz akan memberi saingan sengit kepada Wan Mohd Nazi.

Di peringkat kerusi Parlimen pula, Ahmad Baihaki Atiqullah yang menggantikan Salahuddin Ayub yang bertanding di Johor dilihat mampu menawan kembali kerusi tersebut.

Bagaimanapun, lawannya, dari BN, Anuar Safian tidak boleh dipandang ringan kerana Ketua Pemuda Umno Kelantan tersebut mempunyai ramai penyokong dikalangan orang muda.

Calon Dun Salor pula menyaksikan wajah baru bagi BN iaitu Datuk Noordin Awang yang akan berentap dengan calon Pas, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Bagaimanapun Husam tidak hadir pada majlis penamaan calon

tersebut kerana berada di Putrajaya kerana bertanding sebagai calon Parlimen di sana dan diwakili oleh, Mohd Nasir Saad.

Majlis penamaan calon Parlimen Kubang Kerian berlangsung di Sekolah Rendah Kebangsaan Kubang Kerian 3 itu dihadiri lebih 1,000 penyokong daripada kedua-dua belah parti politik yang bertanding.

Calon-calon dari BN yang pertama tiba di tempat penamaan calon iaitu pada jam9.05 pagi, manakala calon-calon dari Pas tiba lima minit kemudian.

Kesemua mereka mengambil masa selama dua jam berada di sana dan  pengumuman calon dibuat oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Bahagian Parlimen Kubang Kerian, Datuk Wan Mustafa Wan Abdul Hamid.