Alan Dzagoev kini mengungguli senarai penjaring terbanyak Euro 2012.
DALAM saingan Kumpulan A, Rusia dilihat sebagai pasukan pilihan dengan kini mempunyai empat mata hasil kemenangan ke atas Republik Czech dan seri dengan Poland.
Penentuan dengan Greece pagi ini akan memastikan sama Rusia mampu menjadi pendahulu Kumpulan A atau tidak.
Anak buah Dick Advocaat perlu mengutip mata penuh ataupun seri untuk memastikan layak dan tidak menghadapi kuasa bola sepak dunia dalam kumpulan lain seperti Jerman atau Sepanyol.
Saingan Euro 2012, Rusia diperkuatkan dengan beberapa bintang utama yang pernah beraksi dalam skuad Euro 2008 seperti kapten, Andrey Arshavin dan Yuri Zhirkov. Namun bintang paling menyinar dalam kejohanan kali ini adalah pemain CSKA Moskva, Alan Dzagoev yang kini merupakan penjaring terbanyak dengan tiga gol.
Pemain berusia 21 tahun ini dilihat mempunyai kreativiti dalam mencorak serangan Rusia dan dibantu oleh Arshavin dan penyerang Kerzhakov.
Ini dapat dilihat menerusi jaringan ketika menentang Poland apabila menerima hantaran Arshavin hasil sepakan percuma dan sekiranya kedua-dua pemain ini mampu beraksi baik dalam baki saingan dalam Kumpulan A awal pagi ini, Rusia pastinya mampu menjadi juara kumpulan.
Jika Rusia berjaya menempah tiket ke separuh akhir, mereka akan berjaya melakukannya untuk dua kali berturut-turut Rusia hanya gagal layak dari saingan kumpulan pada 1992, 1996, 1994 dan gagal ke peringkat akhir pada 2000.
Bagaimanapun, pasukan ini masih dibayangi oleh masalah akibat tingkah laku buruk penyokongnya yang terlibat dalam pergaduhan penyokong Poland 13 Jun lalu.
Rusia kini berdepan tindakan Kesatuan Bola sepak Eropah (UEFA) yang mencadangkan pemotongan enam mata ketika pusingan kelayakan Euro.
UEFA sebelum ini mengenakan denda 120,000 euro (RM480,000) ke atas Kesatuan Bola Sepak Rusia selepas penyokong pasukan itu menyalakan dan membaling bunga api ketika menentang Republik Czech.
Polis juga sedang mengesan empat penyokong pasukan timur Eropah itu yang dikatakan membelasah kakitangan stadium pada perlawanan tersebut. UEFA turut menyiasat insiden penyokong Rusia yang dipercayai membawa bendera mudah terbakar ketika perlawanan berkenaan.
Bendera dengan lambang Soviet Union bertujuan mendatangkan rasa marah kepada lawannya iaitu Poland dan Czech yang pernah berada di bawah jajahan Soviet. Penyokong Rusia juga didakwa mencetuskan kontroversi apabila menyindir pemain Czech yang berkulit hitam, Gebre Selassie dengan bunyi monyet ketika pemain itu menyentuh bola.
Sementara itu, dalam perlawanan ketika menentang Poland, Advocaat mendakwa pasukannya lebih berhak daripada mencatatkan keputusan 1-1. Advocaat menyifatkan kesilapan yang dilakukan pada babak kedua menjejaskan peluang untuk mencatat kemenangan kedua.
Rusia yang mendahului Kumpulan A selepas membelasah Republik Czech 4-1 tatkala Poland dan Greece sekadar seri, bermula garang selepas Alan Dzagoev membuka tirai pada minit ke-37.
Namun, Poland menyamakan kedudukan pada minit ke-57 selepas ketua pasukan, Kuba Blaszczykowski menyempurnakan hantaran Ludovic Obraniak dengan rembatan deras kaki kiri.
“Saya melihat aksi Rusia lebih baik daripada Poland hari ini, namun ia bukan perlawanan baik. Kita bermain dengan agak baik untuk mendapat keputusan seperti yang diharapkan, namun sebagaimana yang anda tahu, Poland mempunyai sokongan daripada 40,000 penyokong yang jelas merupakan kelebihan besar,” kata jurulatih dari Belanda itu pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Warsaw.



