Sengat Rozaimi: Muncul penjaring terbanyak dengan sembilan gol
Rozaimi Abdul Rahman

10 GOL dalam tiga penampilan bersama Harimau Muda pada perlawanan Kelayakan Piala Asia (AFC) Bawah 22 tahun, di Yangon Myanmar sudah cukup menggambarkan betapa pemain kelahiran Bongawan, Sabah, Rozaimi Abdul Rahman adalah peledak baru yang bakal mencipta nama setaraf bintang sedia ada.

Menyusuli gemerlapan Safee Sali, Safiq Rahim, Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, kini giliran Rozaimi pula mencuri
perhatian peminat bola sepak tanah air.

Kawalan bola dan gerakan penyudah dijelmakan pemain ini cukup melegakan kem negara yang dilihat sedikit kekurangan bakat pelapis muda di bahagian serangan. Malah pemain ini juga dikhabarkan diintai beberapa kelab dari Eropah serta negara Matahari Terbit yang berminat dengan corak permainan remaja 20 tahun ini.


BAKAT MULA DIKESAN

Sebenarnya, aksi penyerang ini bukanlah asing dalam saingan liga tempatan. Rozaimi memulakan karier bola sepak profesional bersama Sarawak setelah bermain untuk pasukan
Piala Presiden Sabah pada peringkat remaja tetapi hanya membuat satu penampilan bersama Sarawak pada 2010.

Dia kembali semula ke pasukan Sabah pada 2011 dan membuat penampilan pertama Liga Super ketika Sabah tewas kepada Terengganu 2-1.

Gol Liga Super pertamanya hadir ketika Skuad Badak seri 1-1 dengan Perak. Pemain yang dilahirkan pada 11 Jun 1992 ini mula disenaraikan oleh Ong Kim Swee pada Julai 2011 untuk perlawanan persahabatan menentang Chelsea.

Pada 28 April 2012, Rozaimi membuat penampilan pertama bersama skuad senior kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka dan menjaringkan gol
pertama dirinya untuk pasukan Harimau Muda pada perlawanan persahabatan menentang pasukan Qatar B22 pada 17 Jun lalu, di Stadium Shah Alam.

Namanya disenaraikan Kim Swee untuk ke Myanmar bagi mengharungi perlawanan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun.Kepercayaan diberikan jurulatih terus dibalas pemain ini yang mempamerkan ketajaman gerakan penyudah apabila menjaringkan empat gol dengan dua gol pada setiap separuh masa oleh Rozaimi memastikan kemenangan selesa pasukan Harimau Muda ke atas Filipina sebelum menunjukkan 'taring' dengan meledak hatrik ketika menewaskan Vietnam 3-0.

Rozaimi terus mencatatkan dirinya sebagai pencetak gol buat skuad kendalian Kim Swee apabila menjaringkan satu gol ketika tewas 1-2 menentang pasukan tuan rumah, Myanmar Selasa lalu dan meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

Kecemerlangan Rozaimi pastinya memberi kelegaan kepada pasukan Malaysiadan tidak keterlaluan mengatakan dia sebenarnya mampu memikat pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk disenaraikan menjelang kempen Piala AFF Suzuki, penghujung tahun ini jika mampu mengekalkan momentum permainannya.

Apa pun, Rozaimi adalah saingan kepada Safee dan Norshahrul Idlan Talaha untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama pasukan kebangsaan.


SEBARIS PEMAIN SENIOR

Aksi bintang muda ini, semakin mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila kelibatnya sering mengundang perasaan gelisah pertahan lawan. Dia lincah, pantas dan kerap mencipta peluang gol ketika beraksi.

Kini, walaupun baru berusia 20 tahun, pemain yang digelar ‘Neymar Malaysia’ sudah sebaris dengan pemain senior B22 seperti Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.


DIINTAI KELAB LUAR

Persembahan menyakinkan dan kualiti pemain ini nyata menarik minat kelab untuk memilikinya, lantas beberapa kelab dari luar negara mula dikaitkan antaranya kelab dari Thailand, Bec Tero Sasana dan kelab dari Eropah. Bagi Kim Swee, memandangkan Rozaimi kini masih bermain untuk Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), terpulanglah kepada dirinya untuk membuat keputusan demi masa depan dalam karier bola sepak.

"Beberapa kelab mengemukakan hasrat untuk memilikinya namun itu bukan dibawah bidang kuasa saya. Kita harap Rozaimi membuat keputusan sewajarnya dan tidak meletakkan faktor kewangan menyebabkannya memilih kelab berkenaan tetapi perlu dilihat dari segi kariernya selaku pemain bola sepak pada masa akan datang," katanya.

Mengulas mengenai persembahan semasa kejohanan piala AFC B-22 yang baru berlangsung di Myanmar, Kim Swee memuji semangat dan komitmen Rozaimi setiap kali diturunkan beraksi.

"Sebenarnya pemain ini pada awalnya bermain dibahagian tengah namun dalam perlawanan pertama tempoh hari menentang Filipina, Rozaimi diletakkan sebagai penyerang dan ternyata ia berkesan dengan menjaringkan empat gol membantu Harimau Muda menang 7-0.

"Pemain ini mempunyai peluang yang cerah untuk terus meningkat dan kini terpulanglah kepada dirinya untuk terus membuktikan bakat yang ada,"katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.