Jiwa Orenje kacau dek gol celah kaki

AWAL pagi semalam selepas memberi prebiu di Facebook bermodalkan wajah Wesley Sneijder (Inter Milan) dan Cristiano Ronaldo (Real Madrid), atas topik pasukan mana dari Kumpulan B Euro 2012 akan mengiringi Jerman ke suku akhir, sama ada Belanda atau Portugal, komen seorang teman begitu menarik perhatian saya.

Rakan itu menyatakan, Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo yang menjadi idaman gadis-gadis di seluruh dunia meskipun prestasinya sangat tidak menjadi sekarang ini, mempunyai peluang lebih cerah berbanding The Oranje yang dikemudi Arjen Robben (Bayern Munich) untuk mengiringi Die Mannschaft yang diterajui pemain tengah kreatif, Bastian Schweinsteiger (Bayern Munich).

Menurut teman itu lagi, hanya keajaiban sahaja dapat membantu anak buah Bert Van Marwijk melangkah ke pusingan kalah mati berkenaan biarpun saingan kumpulan semakin terbuka dengan kekalahan mengejut 3-2 Denmark kepada Portugal di Arena Lviv, kelmarin.

Katanya, juara 1988 itu sepatutnya boleh menghidupkan peluang untuk mara sekiranya berjaya menewaskan Jerman selepas jaringan pemain gantian, Silvestre Varela empat minit sebelum perlawanan tamat memberi mata berharga kepada anak buah Paulo Bento sekali gus, keajaiban jadi milik naib juara 2004 itu.

Mengimbas kembali, kempen Belanda, antara empat pasukan pilihan bersama Sepanyol, Jerman dan Itali mengisi slot separuh akhir pada kejohanan paling berprestij pada peringkat Eropah ini bermula tempang apabila dikejutkan Denmark, 1-0 pada aksi pertama di Stadium Metalist di Kharkiv pada 9 Jun.

Biarpun menguasai perlawanan dengan lapan percubaan tepat daripada 28 percubaan berbanding lapan percubaan tepat daripada lapan percubaan anak buah Morten Olsen, pasukan berstatus bintang yang terkenal dengan corak Total Football gagal untuk membolosi keampuhan benteng pertahanan Denmark.

Prestasi cemerlang Stephan Andersen yang beraksi untuk Evian dalam Ligue 1 Perancis juga menjadi halangan utama jentera hadapan Belanda diketuai penyerang prolifik Arsenal, Robin van Persie merobek jaring lawan walaupun menguasai 53 peratus penguasaan bola berbanding 47 peratus oleh Denmark.

Akhirnya, gol pemain sayap Denmark, Michael Krohn-Dehli yang beraksi untuk Brondby dalam Liga Super Denmark, melalui celah kaki penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg yang beraksi untuk AS Roma dalam Seria A,di Itali pada minit ke-24 kekal hingga wisel penamat sekali gus memberikan keajaiban kepada pasukan merah putih untuk mengutip tiga mata penuh.

Misi mesti menang ketika turun menentang pasukan nombor dua dunia, Jerman di Stadium Metalist di Kharkiv pada 14 Jun, The Oranje dikejutkan dua jaringan Mario Gomez (Bayern Munich) pada minit ke-24 dan 38 untuk memastikan juara 1994 itu kekal selesa gah mendahului separuh masa pertama.

Pasukan Oranje cuba bangkit pada separuh masa kedua, akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 1 - 2 menerusi rembatan dari luar petak penalti van Persie pada minit ke-73 untuk kedudukan kekal walaupun Belanda menguasai 52 peratus berbanding Jerman 48 peratus penguasaan bola. Belanda yang menghasilkan enam percubaan tepat daripada 13 percubaan berbanding Jerman, sembilan percubaan tepat hasil 12 percubaan nyata hebat, namun akhirnya keajaiban juga berpihak pada Gomez apabila dia terus memahat nama sebagai pendahulu penjaring terbanyak dalam dua perlawanan selepas tandukan pada minit ke-72 membantu Jerman menewaskan Portugal, 1-0 di Arena Lviv pada 10 Jun.

Seperkara menarik pada pertemuan menentang Jerman, pemain The Oranje mulai mempamerkan 'killer instinct' berbanding semasa bertemu Denmark sebelum ini.

Menjelang pertemuan menentang Portugal awal pagi Isnin ini, Robben perlu memastikan Belanda bukan sahaja menang, tetapi menang dengan jaringan lebih dua gol dan pada masa sama memerlukan pertolongan Jerman untuk mengalahkan Denmark pada satu lagi aksi pertemuan terakhir kumpulan. Robben tentunya mengharapkan rakan sekelabnya, Bastian Schweinsteiger untuk bertindak cemerlang menggegarkan jaring gol Denmark.

Biarpun harapan Belanda untuk mara ke suku akhir bersama lapan pasukan lain agak tipis namun dalam bola sepak segalanya berkemungkinan berlaku dalam tempoh 90 minit serta tambahan beberapa minit masa kecederaan.

Paling tidak pun setelah semua pasukan dalam Kumpulan B bermula dengan Denmark, Jerman dan Portugal menerima keajaiban pada perlawanan masing-masing, mungkin keajaiban lebih besar menanti anak buah van Marwijk, bak kata orang lama tuah ayam nampak di kaki, tuah ayam belanda, hanya penyokong Oranje sahaja yang tahu.

*Berkat luahan lewat komentarnya minggu lalu, Zuraimee Zainal sudah menemui gadis idaman yang dicari, yang sama-sama menyokong skuad Seladang dan The Oranje. Kini sedang memilih yang paling sesuai, katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.