$entry.content.caption.value
RUPA-RUPANYA, terdapat satu kisah di sebalik kejayaan pasukan Kuala Lumpur pimpinan Razip Ismail melangkah ke pusingan kedua saingan Piala FA, Sabtu lalu.
Pemain Helang Kota sebenarnya diberi amaran pemotongan gaji sebanyak 10 peratus jika tewas kepada MP Muar.
Pengurus Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Rusli Baba berkata, pemotongan itu bukan untuk menghukum pemain, tetapi untuk menambah cabaran kepada skuad KL menghadapi kempen liga musim ini.
“KL kini sedang dalam proses kebangkitan semula. Walaupun berada di kedudukan terbawah liga, kita tidak terlalu gusar mengenai perkara ini.
“Kekalahan yang dialami setakat ini sebenarnya tidak begitu ‘membahayakan’. Lagipun, majoriti pemain yang membarisi skuad KL masih muda,” katanya yang mahu melakar kejutan membawa KL ke pentas akhir Piala FA.
Rusli optimis bekas juara Piala Malaysia tiga kali itu mampu untuk terus kekal bermain dalam saingan Liga Super tahun depan.
Sementara itu, dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Paragon Vest Sdn Bhd, Vincent Lai hadir bagi program menandatangani perjanjian penajaan bersama untuk pakaian sukan berjenama Kronos bagi pasukan KL musim 2012.



