Piala Malaysia
Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU – Misi pasukan berstatus kelab, T-Team dalam mempertahankan maruah pasukan ketika turun menentang Pahang kelmarin terlaksana apabila skuad kendalian, Yunus Alif berjaya menewaskan skuad Tok Gajah, 3-2 di hadapan penyokong sendiri.

Biarpun gagal mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia, namun skuad Penyu Muda itu berjaya bangkit mencatatkan kemenangan sulung dalam kumpulan D musim ini.

Begitupun, Yunus menganggap kemenangan itu adalah hadiah paling berharga buat dirinya yang mengambil keputusan untuk berehat seketika dalam melatih pasukan dalam  persada  arena bola sepak negara selepas berakhirnya siangan Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, beliau amat berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya dan mengakui pemain beraksi dengan semangat luar biasa berbanding perlawanan sebelum ini biarpun ketinggalan 0-2 di awal perlawanan.

“Saya bangga dengan mereka (pemain) dan ini adalah kemenangan sulung kami  seterusnya merealisasikan hasrat kami untuk menang tercapai.

“Malah perlawanan malam ini (kelmarin) adalah talian hayat saya dan mereka menamatkan dengan bermain untuk kemenangan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, malam kelmarin.

Tetap mahu berehat: Yunus

Dalam pada itu, Yunus menambah kemenangan itu secara tidak langsung mengubat luka pasukan yang sebelum ini berada di tangga tercorot seterusnya membuktikan bahawa mereka adalah antara pasukan terbaik dalam mengharungi kempen Liga Malaysia musim ini.

Ketika ditanya laluannya sebagai jurulatih selepas ini, Yunus tetap dengan keputusannya untuk berehat sementara waktu bagi membolehkan beliau untuk bermuhasabah diri.

“Saya tidak tahu lagi macam mana tetapi saya memang mahu rileks dulu dan muhasabah diri, kalau ada rezeki mungkin akan berkhidmat di tempat lain.

“Namun kita hanya merancang dan tuhan yang menentukan, saya amat berterima kasih kepada media yang banyak membantu sepanjang saya bersama pasukan T-Team,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.