S Chanturu
Chanturu berada dalam perancangan Hodak untuk disenaraikan dalam
kesebelasah utama Kelantan menentang Kuala Lumpur, malam ini.

KOTA BHARU – Tiada laluan mudah bagi Kelantan untuk menewaskan Kuala Lumpur, apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Skuad warga kota yang bergelut untuk memburu kemenangan pertama mereka mungkin boleh menjadi ‘pengacau’ kepada cita-cita Kelantan , untuk mengutip tiga mata penuh andai prestasi hambar ketika pertemuan menentang  Kedah tempohari terus berulang.

Justeru, pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak awal-awal lagi mengingatkan pemainnya, tidak memandang mudah perlawanan ini meskipun lawan yang dihadapi menduduki tangga tercorot liga ketika ini.

“Pemain perlu fokus lebih 100 peratus dan tidak boleh melihat pertemuan ini sesuatu yang mudah. Sesuatu yang anda harus ingat, Kuala Lumpur dibarisi pemain muda dan mengamalkan corak permainan laju,” katanya ketika dihubungi semalam.

“Itu dibuktikan mereka sehingga berjaya mengikat keputusan seri (0-0 dan 1-1) ke atas Lions XII dan PKNS FC sebelum ini. Jadi apa yang pemain perlu tahu kadangkala pasukan tercorot seperti Kuala Lumpur juga boleh melakukan  kejutan.

“Dengan Mohammad Ghaddar, Mohd Shakir Shaari, S Subramaniam dan Khairul Fahmi Che Mat kembali beraksi selama 90 minit pada pertemuan dengan Kedah, sudah pasti saya menagih aksi sebenar daripada barisan pemain  Kelantan,” katanya.

Sedikit melegakan Hodak, apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha kembali menyertai latihan bersama Kelantan, setelah selesai menjalani rawatan kecederaan lutut di ibu negara dua hari lalu.

“Kedudukan Mat Yo (Norshahrul Idlan) masih samar-samar. Dia mungkin diturunkan dalam babak kedua sahaja. Kita tengok dulu macam mana. S Chanturu berada dalam perancangan saya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama  malam ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, satu demi satu masalah menimpa di benteng pertahanan Kelantan. Selepas kehilangan Azizi Matt Rose dan Mohamad Ab Aziz Ismail untuk jangka masa panjang, kali ini giliran Mohd Farisham Ismail  pula menyertai rakan sepasukannya berehat sehingga akhir musim ini.

“Dia disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut Anterior Cruciate Ligament (ACL). Kecederaan yang dialami ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang ATM tempohari memaksa dia berehat selama enam bulan. “Obinna (Nwaneri) juga terpaksa diketepikan. Ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) yang dilakukan menunjukkan tidak ada apaapa kecederaan serius. Jadi saya berharap dia boleh diturunkan ketika pertemuan dengan Sabah Sabtu  ini,” katanya. 

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.