PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), bersedia meneliti sebarang cadangan yang dikemukakan persatuan bola sepak negeri bagi menambah baik struktur Liga Malaysia (Liga M) untuk musim depan.
Selaku badan induk bola sepak kebangsaan, Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya bersikap terbuka dan mengambil kira segala pandangan dikemukakan ahli gabungannya.
“Ini bagi memastikan segala kelemahan dapat diperbaiki bagi meningkatkan mutu pertandingan liga bola sepak tempatan.
“Sebelum ini saya menerima banyak luahan secara adhoc daripada persatuan bola sepak negeri dan kita tidak mahu apabila pertengahan liga pelbagai rungutan ditimbulkan,” katanya dalam sidang media mengenai persiapan terkini pasukan Liga M Kelantan di Kafe The Red Warriors, semalam.
Taklimat dan seminar Liga M musim 2012 itu akan berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 15 Disember ini di Shah Alam.
“Saya berharap seminar yang dianjurkan FAM menjadi platform kepada persatuan negeri untuk menyampaikan segala pandangan serta maklum balas dan kita bersedia mengkaji setiap perkara yang dikemukakan nanti,” katanya.
Enggan menunding jari mana-mana pihak, Annuar berharap segala kekeliruan berbangkit termasuk nilai hadiah bagi setiap kejohanan, deposit wang dan harga tiket dapat diperjelaskan melalui penganjuran seminar tersebut.
“Soal deposit wang tiga bulan untuk pemain import juga masih ramai yang keliru. Kalau deposit itu tidak dikembalikan adakah FAM perlu membayar gaji terakhir untuk tiga bulan kepada pemain import itu. Perkara seperti ini sepatutnya dibincangkan secara kolektif oleh semua ahli gabungan,” katanya.
Annuar berkata, dalam seminar itu segala penerangan mengenai perjalanan liga akan diperjelaskan oleh beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT, Jawatankuasa Status selain Malaysia Super League (MSL), badan yang bertanggungjawab mengurus tadbir Liga M itu.



