Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa)
.

AYER KEROH - Sekurang-kurangnya RM3 juta diperlukan Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) dalam usaha membentuk sebuah pasukan kuat untuk menggalas cabaran Melaka tahun depan.

Presiden Mafa, Datuk Md Yunos Husin berkata, perbelanjaan itu merangkumi kos untuk semua aspek, termasuk jurulatih dan pemain terbaik dari luar Melaka.

Menurutnya, meskipun banyak pihak sering mempertikai dan memperkecilkan prestasi pasukan Melaka, namun mereka tidak pernah tahu kekangan kewangan yang dihadapi persatuan.

“Mereka tidak tahu bagaimana kita berusaha mengikat pemain yang ada dan ini memerlukan sumber kewangan yang begitu besar. Jika mahu pasukan yang baik tahun depan, Mafa memerlukan antara RM2.4 juta dan RM3 juta.

“Itu tidak termasuk hutang terdahulu yang perlu dilangsaikan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari kedua penggal kelima, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Tahir Hasan (BN-Paya Rumput) mengenai usaha yang perlu dilakukan untuk mengembalikan nama Melaka dalam arena bola sepak tanah air.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Tahir, Md Yunos yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, kemerosotan bola sepak Melaka disebabkan penghijrahan ramai pemain  berbakat ke negeri lain berikutan tawaran gaji lebih tinggi.

Sebagai perbandingan katanya, Mafa sekadar mampu membayar gaji antara RM600 dan RM800 sebulan, manakala pasukan lain membayar antara RM1,500 dan RM2,000.

Menurutnya, sejak beliau menjawat jawatan Presiden Mafa awal tahun lalu, hutang lama Mafa kini sudah mencecah hampir RM2 juta dan ia tidak termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak dibayar berjumlah lebih RM300,000 serta denda dan dividen menjangkau RM700,000.

“Walau apa masalah dihadapi, persatuan tetap berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa menyalurkan peruntukan berjumlah RM200,000 setiap tahun sejak 2010 bagi menampung perbelanjaan,” katanya. 

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.