soares kedah

MENTERI Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yakin prestasi pasukan Kedah akan kembali pulih selepas mendapat sentuhan Ketua Jurulatih, Wan Jamak Wan Hasan sejurus tempoh penggantungan tujuh perlawa-nan terhadap jurulatih itu berakhir.

Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, mana-mana pihak tidak wajar meletakkan kesalahan pada suatu pihak sahaja, memandangkan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pasukan.

“Pasukan kini yang terpaksa berdepan dengan isu penggantungan Wan Jamak hingga menyebabkan pemain hilang arah kerana tiada bimbingan.

“Namun saya yakin prestasi akan pulih selepas Wan Jamak kembali membimbing pasukan,” katanya yang gembira apabila Pembantu Jurulatih, Mohd Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri selesai menjalani hukuman penggantungan empat perlawanan.

Pada masa sama, Azizan berpuas hati terhadap prestasi ditunjukkan Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din walapun menerima desakan peminat supaya dia melepaskan jawatan tersebut.

“Dia (Khazali) seorang yang bersungguh-sungguh, tetapi apakan daya anak buahnya tidak mampu menunjukkan tahap permainan terbaik. Khazali hanya pengurus, bukan pemain,” katanya.

Azizan berkata, sekiranya desakan itu ‘dilayan’, tidak mustahil pengurus baru menggantikan Khazali pula disuruh meletak jawatan sekiranya penyokong masih tidak berpuas hati dengan prestasi Kedah.

“Jika kita tukar, tapi tahap permainan masih sama, ianya tak akan ubah apa-apa. Bila ditukar dan Kedah melonjak semula, nanti penyokong mahu dia semula.

“Jatuh bangun dalam bola sepak perkara biasa. Saya harap penyokong bersabar,” katanya.

Sementara itu, Azizan mengakui KFA akan mencari pemain import baru bagi memperkuatkan pasukan dan menggantikan dua pemain importnya dari Brazil, Daniel Soares Neves dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo yang telah digugurkan.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.