Azidan: Elak buat silap

“KAMI perlu perkemas bahagian tengah dan tidak terlalu ghairah mencari gol. Itu reaksi pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin menjelang pertembungan Liga Super menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Menurutnya, meskipun pasukan Lions XII turun sebagai pencabar utama kejuaraan liga musim ini, Azidan tetap optimis untuk mencari kemenangan selepas The Red Giants hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.

“Kami kini sudah bersedia 100 peratus memandangkan tekanan kini semakin berkurangan selepas menang 3-0 ke atas Kuala Lumpur, namun kami masih mengambil langkah berhati-hati dalam pertemuan yang dianggap penting ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, bekas kapten Kuala Lumpur itu tidak menafikan Lions X11 adalah lawan sukar terutama dengan kelebihan selaku tuan rumah.

Bagaimanapun, Azidan enggan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak beraksi cemerlang.

“Pihak lawan mempunyai banyak kelebihan. Kami kini dibelenggu faktor keletihan memandangkan jarak perlawanan yang singkat. Namun begitu, ianya juga bukan petanda kami bakal diperkotak-katikkan,” katanya yang turut enggan memusnahkan kepercayaan diberikan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan penyokong Merah Kuning.

Tersingkir seawal pusingan kedua Piala FA, Selangor kini memburu dua lagi trofi domestik Piala Liga Super dan Piala Malaysia untuk dimenangi, selepas kempunan sebarang gelaran musim lalu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.