$entry.content.caption.value
CAKAPLAH apa sekalipun, penyerang handalan Harimau Malaya, Safee Sali tetap menyambung kontraknya bersama kelab Pelita Jaya selama dua tahun, berkuat kuasa semalam.
Perkara ini disahkan sendiri pengurus peribadi Safee di Indonesia, Zakaria Abdul Rahim.
Pengumuman rasmi tersebut sekali gus menamatkan spekulasi beberapa pasukan tempatan yang turut mahukan khidmat bekas penggempur Selangor itu.
“Keputusan Safee untuk kekal di Pelita Jaya adalah berdasarkan faktor umur.
“Lagipun peluang dia bermain dalam pasukan utama Pelita Jaya lebih cerah dan mampu meningkatkan tahap permainannya, berbanding jika dia mewakili kelab lain.
“Mungkin dia hanya diletakkan dalam bangku simpanan atau lebih buruk lagi, diletakkan di pasukan liga simpanan kelab,” katanya mengakui Safee bakal menerima lebih RM2 juta selama dua tahun termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai dibayar kelab dan tiket penerbangan pergi balik ke Kuala Lumpur serta penghormatan sebagai ketua pasukan Pelita Jaya FC.
Dengan tawaran kontrak baru itu, Safee bolah dikatakan sebagai pemain termahal Malaysia dan secara kasar menerima gaji berjumlah RM30,000 seminggu.
Malah bukan itu sahaja, bekas pemain yang pernah beraksi buat pasukan Kuala Lumpur dan Sarawak itu bakal menerima pendapatan sampingan sebagai duta produk selepas kelab berkenaan berusaha mendapatkan syarikat-syarikat yang memerlukan imej Safee bagi tujuan pengiklanan dan pemasaran.
Dalam pada itu, Safee bersedia menyarung jersi kebangsaan selagi khidmatnya diperlukan.
Difahamkan, Safee juga mendapat tawaran dari pemilik Cardiff City FC, tetapi harus melalui proses bermain bersama kelab di Eropah yang mempunyai afiliasi dengan Cardiff untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun.



