Mangsa keadaan...tempoh pinjaman Mohammad Reza bersama Al Wasl tidak dilanjutkan gara-gara hubungan politik yang tegang antara Iran dan UAE
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Ali Kafashian mendakwa kelab bola sepak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) diarahkan agar tidak menandatangani manamana pemain profesional Iran.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan atas sebab politik. Kafashian membuat kenyataan itu dalam satu temu ramah bersama Agensi Berita Iran (ISNA), baru-baru ini.
Ketika ini, hubungan dua hala kedua-dua negara semakin tegang berikutan Iran dan UAE terlibat dalam perebutan sebuah pulau di Teluk Parsi.
Situasi semasa itu menjadikan beberapa pemain antarabangsa Iran yang beraksi bersama kelab di UAE menjadi mangsa keadaan.
Antaranya penyerang, Mohammad Reza Khalatbari dimana tempoh pinjamannya bersama Al Wasl tidak diperbaharui.
Manakala, pemain tengah Al Sharjah, Iman Mobali dan Pejman Nouri terpaksa meninggalkan negara itu.
Sebelum ini, beberapa pemain ternama Iran antaranya Karim Bagheri, Ali Daei, Javad Nekounam serta Ali Karimi pernah beraksi dan mencipta nama bersama kelab terkemuka UAE.
Pada April lalu, perlawanan persahabatan membabitkan kedua- dua negara dibatalkan juga atas sebab politik.



