$entry.content.caption.value
PENGENDALI skuad Olimpik, Ong Kim Swee yakin faktor beraksi di laman sendiri menjadi kelebihan berdepan Jepun pada pertembungan Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Meskipun cabaran pemain kebangsaan untuk ke London sudah terkubur, Kim Swee tetap menuntut anak didiknya memperagakan aksi terbaik di hadapan penyokong negara dan bersedia mengukir sejarah baru mengejutkan pemenang Sukan Asia 2010 itu.
“Kami sedaya upaya memberikan saingan sengit kepada pasukan Jepun dan berjanji melakukan yang terbaik buat penyokong Malaysia.
“Malah, kita langsung tiada tekanan berbanding Jepun yang terdesak mencari kemenangan bagi menjamin tempat ke London,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Namun begitu, jurulatih yang melakar sejarah baru apabila membimbing pasukan negara sehingga layak ke pusingan peringkat kumpulan sejak 1980, tetap mengiktiraf skuad Samurai Biru sebagai pasukan nombor satu Asia.
Kim Swee juga enggan mendedahkan barisan terbaik bakal diturunkannya dan meminta semua pihak menunggu pada perlawanan sebenar (malam ini).
Sementara itu, jurulatih Jepun, Takashi Sekizuka mahu pemainnya memanfaatkan peluang yang dimiliki dan berazam mengutip tiga mata penuh.
Menurutnya, mereka kini pada tahap terbaik mencipta kemenangan dan telah melakukan persiapan rapi sejak tiba di Singapura, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



