Atlet wushu negara Chan Fong Ying muncul penerima insentif terbanyak pada Anugerah Kecemerlangan Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2011 dengan meraih imbuhan sejumlah RM10,000.
Fong Ying, 26, menerima imbuhan yang terdiri daripada wang tunai RM7,500, gajet Samsung Galaxy Tab bernilai RM2,000 dan baucer buku RM500 yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin pada majlis penyampian anugerah tersebut di sini hari ini.
Atlet dari Melaka itu merangkul pingat emas di Kejohanan Wushu Dunia di Ankara, Turki, tahun lepas dalam acara taijijian, sekali gus merebut semula gelaran juara dunia yang pernah diraihnya pada 2005 di Hanoi, Vietnam dan 2007 di Beijing, China.
"Saya sangat terkejut dan terima kasih kepada KPT," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan insentif tersebut.
Pada majlis itu, Fong Ying turut menyerahkan sebilah pedang yang digunakannya ketika beraksi pada Kejohanan Wushu Dunia di Turki kepada Khaled sebagai tanda penghargaan.
Fong Ying berkata beliau sedang membuat persiapan untuk Kejohanan Asia di Vietnam dan Kejohanan Dunia di Colombia tahun ini.
Selain Fong Ying, turut menerima insentif kemenangan bagi Kejohanan Wushu Dunia ialah Diana Bong Siong Lin dan Loh Jack Chang (perak) serta Chan Fong Wei dan Ng Say Yoke (gangsa). Bagi pingat perak dan gangsa masing-masing menerima
hadiah bernilai RM7,000 dan RM5,000.
KPT turut meraikan 54 atlet yang beraksi cemerlang pada temasya Sukan SEA ke-26 di Indonesia tahun lepas dan menyampaikan biasiswa kepada 178 atlet negara untuk pengajian di peringkat universiti tempatan dan swasta.
Atlet Sukan SEA yang menyumbangkan pingat emas menerima insentif berjumlah RM5,000 iaitu wang tunai RM2,500, gajet Samsung Galaxy Tab dan baucer buku bernilai RM500 setiap seorang, pingat perak (wang tunai RM2,500 dan baucer buku RM500) dan pingat gangsa (wang tunai RM1,500 dan baucer buku RM500).
Antara atlet yang menerima insentif tersebut ialah atlet karate K. Teagarajan, Katrina Ann Abdul Hadi (renang berirama), Lee Yang (wushu), Yu Peng Kean (lawan pedang), Cheng Chu Sian (memanah), Khoo Cai Lin dan Siow Yi Ting
(renang).
Sementara itu, pemain pertahanan bola sepak negara, Mahalli Jasuli menerima hadiah bernilai RM5,000 atas kejayaan skuad Harimau Muda mengalahkan skuad Garuda (Indonesia) pada temasya Sukan SEA di Jakarta tahun lepas. - Bernama



