Euro 2012: Menilai 8 pasukan terbaik suku akhir
Euro 2012 : Perlawanan-perlawanan Suku Akhir bermula 22hb Jun

Dua puluh empat perlawanan telah dilalui. Pelbagai kejutan telah disaksikan. Bagimana dengan pasukan kegemaran anda? Masih bertahan atau telah tersungkur? Lengkap tiga perlawanan setiap pasukan, hanya lapan yang terbaik berjaya melangkah ke pusingan suku akhir.

Dua pasukan tuan rumah (Poland dan Ukraine) tidak melepasi halangan dalam kumpulan, walaupun bermain di halaman sendiri ia tidak cukup untuk melayakkan diri mereka ke peringkat seterusnya.


KUMPULAN A
Sungguh dramatik, ungkapan sesuai menggambarkan senario dalam kumpulan A. Walaupun pada suatu ketika Greece seolah-olah tidak diberikan harapan melangkah ke peringkat setersunya. Namun begitu kemenangan ke atas Rusia memberikan mereka tiket untuk ke peringkat seterusnya walaupun jika dilihat daripada perbezaan gol Greece ketinggalan dua gol berbanding Rusia.

Tetapi format perlawanan di Euro berbeza dengan kejohanan lain. Oleh kerana Greece berjaya menumpaskan Rusia, maka mereka layak ke pusingan seterusnya.

Rep Czech yang tumpas 4-1 kepada Rusia dalam perlawanan pembukaan berjaya bangkit pada dua baki perlawanan, sekali gus membolehkan mereka menjuarai kumpulan A.

Pada perlawanan menentang Greece, dua gol dalam masa enam minit dipertahankan untuk mencatat kemenangan 2-1 yang menyaksikan mereka kembali bersaing.

Perlawanan terakhir mereka berjaya bertahan walaupun Poland melakukan serangan bertali-arus dengan 16 percubaan ke gawang mereka, gol tunggal Petr Jiracek dipertahankan mereka sehingga wisel penamat.

KUMPULAN B

Kumpulan maut! Aksi pertama lagi telah menggambarkan perjalanan pasukan dalam kumpulan ini. Meskipun dilabel sebagai pasukan pilihan, Belanda pulang awal tanpa sebarang mata.

Belanda awal-awal lagi dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Denmark, walaupun melancarkan 28 cubaan ke gawang Denmark. Masalah paling ketara di bahagian serangan. Tiada penyudah meskipun mempunyai deretan umpanan di depan gawang lawan. Sungguh mengecewakan walaupun memiliki senarai pemain berkelas dunia.

Dua pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat seterusnya. Salah satu daripadanya diyakini akan mampu menjejakkan kaki ke peringkat akhir. Namun itu hanyalah sekadar ramalan. Mereka perlu memenangi dua lagi perlawanan hidup mati untuk ke peringkat akhir.

KUMPULAN C

Sepanyol seolah-olah masih mencari rentak sang juara, walaupun berjaya meletakkan mereka selaku juara kumpulan. Secara keseluruhannya permainan mereka masih lagi tidak selancar kejohanan sebelum ini.

Mana-mana pasukan pastinya memasang impian untuk menumbangkan gergasi eropah, selaku penyandang juara mereka memikul tekanan yang sedikit sebanyak menggangu tempo permainan.

Berbeza dengan Itali, walaupun pada awalnya mereka datang denga reputasi yang kurang memberansangkan. Tewas dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum kejohanan, mereka mampu memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam pasukan.

Sekarang, Itali menjadi pasukan yang harus di beri lebih perhatian. Barisan tengah mereka begitu selesa memberikan bekalan bola berkualiti untuk disudahkan oleh rangkaian penyerang mereka.

KUMPULAN D

Siapa sangka England akan menerajui kumpulan D? Masalah demi masalah yang dihadapi mereka, Rooney digantung perlawanan, Capello meletakkan jawatan.

Isu kepten yang menyaksikan lilitan tersebut beralih kepada Gerrard. Serta rentetan kecederaan yang membelenggu, namun pengurus baru mereka mengambil langkah meminggirkan Rio Ferdinand meskipun mempunyai barisan pertahanan yang mentah untuk kejohanan sebesar ini.

England dan Perancis bermula hambar, meskipun seri 1-1 tetapi persembahan secara keseluruhannya sangat hambar. Kekalahan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan kepada Sweden tidak merencatkan perjalanan Perancis ke peringkat seterusnya.

Secara keseluruhan, Perancis perlu lipat ganda usaha berdepan Sepanyol di suku akhir nanti.

Demam Euro makin ke kemuncaknya, kehangatannya kini melangkah ke pusingan kalah mati. Pada peringkat sesukar begini, mana-mana pasukan yang mempunyai kekuatan mental yang kuat sudah pastinya boleh mara lebih jauh lagi.

Kita masih lagi dapat melihat kelibat C. Ronaldo berdepan antara penjaga gol terbaik dunia Petr Cech. Kita juga akan disajikan dengan corak menyerang secara berpasukan yang selalu di amalkan Jerman berhadapan pasukan bukan pilihan Greece.

Sejauh mana Mesut Ozil dapat merencana bahagian tengah Jerman merobek pintu gol Greece atau juara 2004 ini sekali lagi menghadirkan kejutan ke atas pasukan berstatu elit ini.

Tidak ketinggalan, bagaimana pemain-pemain Perancis menyekat kemaraan rangkaian tengah  Sepanyol yang di ketui Xavi, Iniesta dan Silva daripada menguasai kawasan tengah. Pastinya Hugo Lloris akan dilihat sibuk di gawangnya nanti. Pengalaman pemain-pemain senior seperti Nasri, Ribery dan Maxes sudah semestinya ditagih sekali lagi dalam pentas setinggi ini.

Akhir sekali, perlawanan antara England menetang Itali. Sekembalinya Rooney pasti akan memberi lebih ancaman kepada barisan belakang Italy. Ketangkasan Buffon sekali lagi ditagih, mampukah anak buah Roy Hodgson melangkah ke peringkat seterusnya?

Sama-samalah kita nantikan.