PENYERANG Liverpool, Luis Suarez sekali lagi terlibat di dalam kontroversi apabila menunjukkan isyarat jari kurang sopan kepada penyokong Fulham selepas tewas 1-0 dalam perlawanan EPL awal pagi tadi di Stadium Craven Cottage, London.
Kekecewaan Suarez bermula apabila penyokong Fulham mengejek dan menuduh beliau sengaja jatuh untuk mendapatkan sepakan percuma apabila diasak pemain lawan.
Suarez semakin tertekan pada minit ke-66 kerana jaringan golnya hasil hantaran Enrique dibatalkan kerana offside.
Enam minit selepas insiden itu, pengadil perlawanan, Kevin Friend melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Liverpool, Jay Spearing kerana mengasari Moussa Dembele. Pemain Liverpool menentang keras layangan kad merah itu kerana menganggap terjahan Spearing mengenai bola dahulu sebelum ke kaki Dembele.
Nasib semakin tidak menyebelahi Liverpool apabila penyerang Fulham yang berasal dari Amerika Syarikat, Clint Dempsey menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.
Kenny Dalglish enggan terlibat di dalam kontroversi terbaru Luis Suarez apabila diminta pendapat tentang reaksi penyerang Uruguay itu. Namun beliau berkata Suarez harus diberikan perlindungan dan mereka (Liverpool) akan menjaga Suarez dengan sebaik mungkin selepas ini.
Luis Suarez baru saja menghadapi kontroversi pada awal musim (Oktober) apabila dituduh berkata sesuatu kurang sopan yang bersifat perkauman kepada pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra ketika perlawanan menentang Manchester United yang berakhir 1-1.



