Mancini salahkan Liverpool

PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini menyalahkan pemain Liverpool kerana sengaja menyebabkan penyerang mereka, Mario Balotelli dilayangkan kad merah pada perlawanan EPL di Anfield, semalam.

Balotelli yang hanya sempat beraksi selama 18 minit sebagai pemain gantian dilayangkan kad kuning pertama pada minit ke-75 kerana mengasari Glen Johnson dan malang terus menimpa pada minit ke-82 apabila menerima kad kuning kedua kerana didapati menyiku pertahanan Liverpool, Martin Skrtel.

"Saya tidak bersetuju dengan kad kuning kedua itu kerana ia hanya kesalahan kecil. Pengadil tidak mahu memberikan kad kuning kedua itu tetapi pemain Liverpool terus memprovokasi dan membangkitkan hal demikian seterusnya mempengaruhi keputusan beliau." kata Mancini.

Mancini menambah, "Mario patut sedar yang ramai pemain lain mahu membangkitkan kemarahan beliau. Disebabkan kad merah itu, kami kehilangan beberapa peluang untuk mendahului perlawanan."

City membuka tirai jaringan pada minit ke-31 hasil tandukan Vincent Kompany namun Liverpool menyamakan kedudukan dua minit selepas itu hasil rembatan Charlie Adam yang terkena pertahanan City, Joleon Lescott menyebabkan bola melencong menewaskan Joe Hart.

Joe Hart mengekalkan rekod tanpa kalah City pada perlawanan itu apabila beberapa kali menyelamatkan pintu gol dari dirobek serangan Liverpool yang diterajui Luis Suarez, Stewart Downing, Andy Carrol dan juga Dirk Kuyt.

"Saya gembira dengan pemain saya kerana pada minit-minit terakhir kami terus mencipta peluang gol dan Joe banyak menyelamatkan pintu gol kami. Kami baru saja menentang Napoli tiga hari lalu dan masih lagi keletihan sedangkan Liverpool cergas. Untuk bermain dengan baik dan cuba untuk menang adalah perkara penting, tetapi ia tidak mudah kerana Liverpool adalah pasukan yang kuat." kata pengurus yang berasal dari Itali itu.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.